Categories
NASIONAL

Pengalaman Muhyiddin lihat rasuah Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 15 OKT: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin membongkar pengalaman peribadinya melihat wujudnya salahguna kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Beliau yang pernah berada sebagai individu kedua tertinggi dalam pentadbiran negara selepas Najib mengakui Putrajaya kini ditunjangi seorang pemimpin rasuah yang menafikan hak rakyat.

“Dua tahun lalu, saya telah berada dalam kerajaan. Saya menyaksikan sendiri dengan mata dan kepala saya tentang penipuan, pembohongan dan pencurian harta rakyat yang dilakukan Najib Razak.

“Saya tidak berbohong, sebab itu pernyataan yang dinyatakan pimpinan Pakatan sebelum ini jelas bahawa masanya sudah tiba untuk rakyat membuat keputusan untuk melakukan perubahan.

“Perubahan itu adalah untuk menolak kerajaan kini dan menyokong Pakatan Harapan untuk menumbangkan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada himpunan antikleptokrasi – Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya, malam tadi.

Muhyiddin sebelum ini adalah Timbalan Perdana Menteri, juga merangkap Timbalan Presiden Umno.

Bagaimanapun, Jun tahun lalu menyaksikan Ahli Parlimen Pagoh itu dipecat keahlian Parti Ketuanan Melayu itu kerana secara terang-terangan mengkritik Najib Razak berhubung kontroversi 1MDB.

Pemecatan itu dibuat secara sebulat suara menerusi perbincangan lanjut dipecat selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno atas alasan ‘melanggar displin parti’.

Selain Muhyiddin, turut dipecat adalah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pemecatan itu akhirnya membentuk dua parti politik baru iaitu, PBBM dan Parti Warisan Sabah.

=EZY=