Categories
AGENDA NASIONAL

PM pengerusi mesyuarat khas MKN bincang Covid-19

PUTRAJAYA, 3 OKT: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Mesyuarat itu antaranya dihadiri oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob;  Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin serta menteri-menteri berkaitan.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Semalam, Malaysia mencatatkan 287 kes baharu Covid-19, iaitu jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di negara ini.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Peluk cium dari jauh untuk ayah, ibu tercinta

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Sudah hampir dua bulan rakyat Malaysia ‘berkurung’ di rumah bersama ahli keluarga masing-masing, namun tidak semua berpeluang merasai nikmat itu apabila ada di antara mereka yang terpisah daripada pasangan, anak, cucu, serta saudara mara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ramai yang sedang menanggung rindu apabila sekian lama terpisah dengan insan tersayang dan tidak dapat bersua muka hanya sekadar bertanya khabar menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.

Bak kata pepatah ‘air dicincang tidak akan putus’, begitulah diibaratkan eratnya hubungan kekeluargaan walau pada saat-saat sukar melawan penularan Covid-19 ketika ini.

Namun masyarakat perlu mematuhi saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bukan sahaja mematuhi jarak sosial tetapi juga tidak ada peluk cium, bersalaman seperti amalan yang selalu ketika menyambut Aidilfitri.

“Jika tidak dapat amalkan jarak sosial lebih baik kita kurangkan melawat,” kata beliau pada sidang media harian di Putrajaya petang semalam.

Memandangkan Aidilfitri akan disambut umat Islam pada 24 Mei ini dalam suasana normal baharu, beliau mahu perayaan itu disambut berlandaskan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa berhari raya termasuk mengehadkan jumlah pelawat pada satu-satu masa.

Kerajaan juga memberi peringatan tidak digalakkan membawa kanak-kanak ke tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah, seperti kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian perkembangan PKPB.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan mempertimbang untuk memasukkan tindakan membawa kanak-kanak ke premis berkenaan ke dalam Akta 342 sebagai perkara yang dilarang jika masih ramai ibu bapa berbuat demikian sepanjang PKPB dilaksanakan.

Setakat ini, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), masih tiada sebarang sekatan untuk membawa anak kecil ke premis tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah.

Hari ini hari ke-56 pelaksanaan PKP dan hari ke-sembilan PKPB. Situasi Covid-19 di Malaysia kekal dua digit dengan penambahan 70 kes baharu menjadikan jumlah kes positif 6,726 kes setakat semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad mengumumkan tempoh PKPB dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun, sekali gus menyaksikan pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih 6,000 orang kunjungi rumah terbuka Aidilfitri Muhyiddin

MUAR, 8 Jun : Kira-kira 6,000 penduduk sekitar Bukit Gambir di sini tidak melepaskan peluang bertemu dan beramah mesra dengan Tan Sri Muhyiddin Yasin dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman dalam satu majlis rumah terbuka Aidilfitri di Dewan Muafakat, Bandar Baru Bukit Gambir dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang merupakan Anggota Parlimen Pagoh bersama Norainee meluangkan masa kira-kira lima jam bermesra dan berswafoto dengan para pengunjung.

Orang ramai yang ditemui menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang mesra, perihatin dan sentiasa mengambil tahu masalah rakyat.

Pekerja swasta, Saifudin Mat Hayan, 39 dari Taman Bandar Baru Bukit Gambir berkata sejak daripada dahulu Muhyiddin amat perihatin dengan keperluan rakyat walaupun pernah menjadi pemimpin nombor dua negara (timbalan perdana menteri).

“Walau sibuk dengan tugas sebagai menteri, Muhyiddin tidak pernah bersikap sombong sebaliknya mesra apabila disapa oleh rakyat,” katanya kepada Bernama pada majlis itu.

Turut berkongsi pendapat yang sama, wartawan sebuah akhbar berbahasa cina, Lau Bee Kiau , 37 yang menyatakan rasa kagum beliau dengan personaliti Muhyiddin yang mesra dengan semua kaum.

“Beliau (Muhyiddin) tidak pernah bermasam muka apabila disapa oleh orang ramai dalam apa-apa majlis dan beliau sedia mendengar apa jua luahan rakyat,” katanya.

Lau berkata beliau menghormati Muhyiddin dan berharap Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan terus diberi kesihatan untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

Para rumah terbuka itu pengunjung disajikan pelbagai juadah seperi lemang, rendang daging, nasi beriani, cendol dan aneka kuih tradisional Melayu. -BERNAMA

 

Kredit Foto Facebook Muhyiddin Yassin

Categories
NASIONAL

Pasukan petugas khas dibentuk teliti laporan Suhakam mengenai kehilangan aktivis

PUTRAJAYA, 23 Mei:Kabinet bersetuju supaya sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi meneliti laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh Keng Joo dan aktivis sosial Amri Che Mat, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pasukan itu yang bakal dianggotai antara enam ke tujuh individu, juga seterusnya akan mengesyorkan tindakan wajar yang perlu diambil oleh kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.

Muhyiddin berkata kerajaan sedang mengenal pasti individu-individu yang sesuai untuk menganggotai pasukan tersebut dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Ini kerana, laporan itu antara lain mengatakan polis terlibat dan sebagainya dan pihak yang boleh membuat siasatan, yang ada kuasa polis juga.

“Jadi kita ingin memastikan bahawa pihak-pihak yang dirasakan sesuai akan dinamakan dan akan diberi satu tempoh berpatutan mungkin tiga bulan sebagai contoh untuk mengemukakan keputusan hasil daripada siasatan terhadap laporan Suhakam itu,” katanya kepada pemberita selepas Program Penerapan Nilai Murni di Bulan Ramadan, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata pihak polis akan turut terlibat dalam pasukan itu, namun kementerian akan mencari mereka yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes tersebut.

“Tuduhan itu ada membabitkan Cawangan Khas dan lain-lain lagi, jadi kita tak boleh meletakkan orang-orang yang ada berkepentingan sebab itu kita mengambil masa menamakan siapa yang agak sesuai.

“Ada nama-nama yang kita telah kenal pasti tetapi kita nak berhubung dengan mereka supaya mereka setuju, selepas itu barulah kita beri terma rujukan dan lain-lain lagi, serta tempoh berapa lama pasukan ini akan menjalankan tugas,” katanya.

Berdasarkan hasil inkuiri awam yang bermula Oktober 2017, Suhakam membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa Koh dan Amri.

Koh, 64, diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya, dekat sini, pada 13 Feb 2017 sementara Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 Nov 2016.

Mengulas mengenai kenyataan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin, bahawa menteri, menteri besar dan exco yang kurang menyerlah wajar meletak jawatan secara sukarela, Muhyiddin berkata terserah kepada individu yang dimaksudkan untuk berbuat demikian jika merasakan mereka tidak lagi sesuai berada dalam Kabinet.

“Saya tidak tahu siapa yang dimaksudkan, tetapi kalau saya, saya berhentilah. Kalau orang lain itu terserah kepada mereka,” kata Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sambil menambah kenyataan Kadir itu hanyalah pandangan peribadi seorang pengamal media walaupun beliau merupakan anggota Majlis Tertinggi Bersatu.

“Ini adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri jika beliau ingin mengambil sebarang langkah,” kata Muhyiddin.

Semalam, Kadir melalui blognya berkata selepas setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kesemua yang dilantik dan memikul tanggungjawab sudah sewajarnya menilai semula kedudukan mereka memandangkan tempoh itu adalah cukup lama untuk mempelajari cara melaksanakan tugas bagi memenuhi aspirasi rakyat. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Muhyiddin nafi letak jawatan Ahli Parlimen Pagoh

KUALA LUMPUR 30 OGOS: Mesej tular mengenai peletakan jawatan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Parlimen Pagoh dinafikan hari ini oleh Setiausaha Akhbar beliau, Hafiz Abdul Halim.

“Saya ingin memaklumkan bahawa mesej tersebut adalah palsu,” katanya melalui kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Hafiz menegaskan penyebaran berita palsu adalah kesalahan di bawah undang-undang negara.

“Tindakan tegas boleh diambil ke atas mereka yang melakukan kesalahan ini,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Muhyiddin dibenar keluar hospital

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 OGOS: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibenarkan keluar meninggalkan Hospital Mount Elizabeth, Singapura, di sini, hari ini.

Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Abdul Halim berkata, Muhyiddin sudah selesai menjalani pembedahan dan rawatan.

“Beliau akan berehat sementara bersama keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Rasmi Muhyiddin Yassin, hari ini.

Pada masa sama, Hafiz mengucapkan penghargaan kepada semua doktor, jururawat serta staf hospital tersebut.

“Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan dan meluangkan masa melawat YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin semasa beliau di sana,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong turut melawat Muhyiddin selepas Timbalannya Teo Chee Hean melakukan kunjungan sama.

 

Categories
NASIONAL

Isu pendaftaran PAKATAN dan PPBM selesai

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 16 MEI: Pendaftaran Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akhirnya selesai, selepas mendapat kelulusan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu berjaya diselesaikan, hari ini.

“Walaupun kita dihalang pada awalnya tetapi kini tidak lagi,” katanya pada Himpunan Merdeka Rakyat, di Padang Timur, di sini, hari ini.

Ketika menyentuh pembebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, Muhyiddin menyifatkan ia sebagai amat bermakna untuk rakyat dan negara.

Katanya, Anwar akan diangkat sebagai perdana menteri seperti diimpikan rakyat.

Categories
NASIONAL

Tun M serang Najib, Muhyiddin dakwa status Umno kini ‘haram’

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 24 APR: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan segala peluang dan cara yang ada untuk kekal berkuasa termasuk memberikan kad pengenalan palsu kepada bukan warganegara.

Menurutnya, rakyat perlu keluar mengundi bagi menyumbang kepada jumlah kemenangan besar dengan majoriti sekitar 10,000 hingga 20,000 kerana undi mereka sangat berharga kini.

“Sekarang pun saya fikir dia (Najib) akan keluarkan kad pengenalan biru bagi kepada orang bukan warganegara untuk mengundi dalam pilihan raya.

“Sebab itu kita perlu keluar (mengundi) beramai-ramai, ajak seluruh keluarga datang dan jika hujan, kita pakai payung supaya mengundi satu simbol (KEADILAN), tak payah undi yang lain,” katanya.

Bercakap pada Jelajah Harapan Selangor di Stadium Majlis Daerah Kuala Selangor semalam beliau turut memberi amaran BN mungkin membeli calon mereka pada hari penamaan calon nanti sebagai antara kaedah menggagalkan Pakatan Harapan.

Katanya, kerosakan yang dilakukan kepimpinan Najib Razak terhadap negara tidak boleh diperbetulkan lagi jika Barisan Nasional terus mencapai kemenangan.

“Pada hari menamakan calon, ada besar kemungkinan Najib akan membeli calon-calon kita ataupun dia akan menyekat calon daripada sampai ke tempat penamaan calon dan lain-lain perkara termasuk tidak mengiktiraf Ejen Pusat Mengundi dan Mengira Undi (PACA) kita, pencadang serta penyokong calon kita.

“Banyak lagi yang boleh dilakukan oleh Najib, yang tidak mengikut undang-undang keranan dia tidak hormati undang-undang sama sekali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Umno berkemungkinan besar menjadi sebuah parti yang ‘diharamkan’ susulan penagguhan pemilihan lebih 18 bulan.

Selaku bekas Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Umno beliau berkata, tempoh 18 bulan itu sudah berakhir beberapa hari lalu dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sendiri tidak boleh memanjangkan tempoh penangguhan pemilihan walaupun sehari.

“Umno tidak mengadakan persidangan agung dan pengikut Perkembagaan Umno tidak ada peruntukan untuk ditambah (tempoh penangguhan pemilihan) walaupun sehari.

“Tak mungkin Pendaftar Pertubuhan ada kuasa dalam Akta Pertubuhan atau mana-mana peruntukan yang membolehkan ROS menyambung sehari hayat Umno.

“Bermakna Umno seharusnya sudah terbatal, Umno sudah tidak ada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden hatta Ketua Cawangan,” katanya.

“Bermakna Umno seharusnya sudah terbatal, Umno sudah tidak ada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden hatta Ketua Cawangan,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Pengalaman Muhyiddin lihat rasuah Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 15 OKT: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin membongkar pengalaman peribadinya melihat wujudnya salahguna kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Beliau yang pernah berada sebagai individu kedua tertinggi dalam pentadbiran negara selepas Najib mengakui Putrajaya kini ditunjangi seorang pemimpin rasuah yang menafikan hak rakyat.

“Dua tahun lalu, saya telah berada dalam kerajaan. Saya menyaksikan sendiri dengan mata dan kepala saya tentang penipuan, pembohongan dan pencurian harta rakyat yang dilakukan Najib Razak.

“Saya tidak berbohong, sebab itu pernyataan yang dinyatakan pimpinan Pakatan sebelum ini jelas bahawa masanya sudah tiba untuk rakyat membuat keputusan untuk melakukan perubahan.

“Perubahan itu adalah untuk menolak kerajaan kini dan menyokong Pakatan Harapan untuk menumbangkan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada himpunan antikleptokrasi – Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya, malam tadi.

Muhyiddin sebelum ini adalah Timbalan Perdana Menteri, juga merangkap Timbalan Presiden Umno.

Bagaimanapun, Jun tahun lalu menyaksikan Ahli Parlimen Pagoh itu dipecat keahlian Parti Ketuanan Melayu itu kerana secara terang-terangan mengkritik Najib Razak berhubung kontroversi 1MDB.

Pemecatan itu dibuat secara sebulat suara menerusi perbincangan lanjut dipecat selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno atas alasan ‘melanggar displin parti’.

Selain Muhyiddin, turut dipecat adalah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pemecatan itu akhirnya membentuk dua parti politik baru iaitu, PBBM dan Parti Warisan Sabah.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Muhyiddin: Umno perlu faham soal prinsip bukan gadai tanah negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 JAN: Pimpinan Umno perlu memahami prinsip perjuangan sebenar bagi memastikan kedaulatan negara terus diperkukuh tanpa menggadaikan kepentingan dan aset negara.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tetap berpegang pada prinsip kesetiaan terhadap kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.

Malah, katanya, prinsip itu tetap menjadi matlamat utama perjuangannya tanpa membatasi soal dan prinsip kesetiaannya kepada institusi diRaja.

“Bagi saya, kesetiaan tidak bersifat membuta tuli. Ia perlu berpaksikan kepada prinsip kebenaran kerana itu juga yang diajar Islam.

BERSATU (13)“Ketika kedaulatan negara sedang tergugat dan kepentingan rakyat terancam, maka sebagai seorang warganegara yang setia kepada raja dan negara, tanggungjawab saya adalah untuk bercakap benar,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian dalam kenyataannya sebagai mengulas dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Aziz Kaprawi yang mempertikai kesetiaan Muhyiddin terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Membidas dakwaan itu, Muhyiddin berkata, tampuk pemerintahan Umno kini dilihat gagal memahami prinsip sebenar kesetiaan hingga wujudnya individu yang sanggup menggadai bumi Malaysia bagi tujuan peribadi.

Beliau mengaitkan dasar penjualan tanah kepada syarikat asing menerusi urusniaga Forest City di bawah urus tadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Yang ditakuti ialah apabila pemimpin yang berkuasa menghadapi bebanan wang dan hutang berbilion sanggup menggadai tanah pusaka kepada orang asing untuk menyelesaikan tanggungannya,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jelajah 1MDB Johor, Muhyiddin laung Reformasi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PASIR GUDANG, 26 SEPT: Julung kalinya, bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin melaungkan laungan keramat ‘reformasi’ pada Siri Jelajah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di sini, malam tadi.

Laungan keramat itu diungkapkan Muhyiddin tiga kali di awal ucapannya lantas disambut penyokong dan difahamkan ia adalah penampilan pertama Muhyiddin bersama komponen pembangkang mengungkapkan laungan yang cukup sinonim dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Reformasi merujuk kepada tuntutan nilai perubahan yang diungkap Anwar ketika berlakunya krisis kepercayaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu, pada 1998.

MUHYIDDINKrisis 1998 itu akhirnya membentuk kepada penubuhan Parti KEADILAN Nasional yang ditunjangi Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Muhyiddin sebelum ini dipecat daripada Umno selepas lantang mengkiritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal kewangan syarikat milik kerajaan 1MDB.

Susulan itu, beliau bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini dilihat ‘mesra’ bersama komponen pembangkang.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya terus membongkar rahsia penyelewengan kewangan 1MDB apabila hutang syarikat tersebut dialihkan di atas beban rakyat.

“Kementerian tidak lagi menerima peruntukan sewajarnya seperti yang pernah diberikan dulu. Mengambil contoh, Kementerian Kesihatan sudah tidak dapat menampung kos perubatan kerana peruntukan itu telah dipotong.

“Persoalannya, bagaimana 1MDB terus menekan rakyat? Jawapannya, beban 1MDB itu sendiri yang menyebabkan rakyat menderita apabila duit mereka dipotong untuk membayar hutang itu,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Azmin sambut baik kerjasama Muhyiddin, faham ‘derita’ rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG, 30 JULAI : Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik penglibatan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggerakkan program jelajah dedah 1MDB.

Beliau berkata, keperluan tersebut membuktikan komitmen KEADILAN dan bekas pemimpin Umno itu untuk memastikan rakyat mendapat pemahaman sebenar mengenai skandal terbesar negara kini.

“Penyertaaan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini cukup baik kerana beliau sebagai bekas Perdana Menteri yang amat memahami dan mempunyai akses untuk mendapatkan maklumat berkenaan 1MDB.

“Namun apa yang berlaku, Timbalan Perdana Menteri sendiri tidak diberikan maklumat jelas mengenai 1MDB, dan keadaan ini jelas menunjukkan Umno cuba memperbodohkan rakyat,” katanya.

IMG_7188Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bekas Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Hotel Empire, di sini.

Bercakap lanjut, Mohamed Azmin berkata, kerjasama tersebut diwujudkan juga bagi memastikan rakyat tidak terus disembunyikan daripada fakta dan kebenaran mengenai skandal tersebut.

“Menjadi tanggungjawab kami untuk memberi kesedaran bahawa skandal 1MDB adalah skandal yang mendatangkan malapetaka kepada negara dan akan menghancurkan bangsa.

“Usaha ini akan digerakkan segera ke seluruh negara berdasarkan dokumen yang ada, tanpa ragu lagi, kita akan dedahkan kepada umum.

“Kalau kita harap untuk Menteri Umno dedahkan, sampai kiamat pun mereka hanya akan sembunyikan kes ini,” sindir Mohamed Azmin.

EZY