Categories
SELANGOR

Pengantin: Tak perlu berbelanja besar namun tetap meriah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 OKT: Tujuh pasangan pengantin terharu apabila diberi peluang menyertai Majlis Perkahwinan Perdana Belia Shah Alam yang dianjurkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pasangan pengantin yang sempat ditemui SelangorKini berkata, majlis yang diadakan ini memberi peluang kepada mereka melangsungkan hari bersejarah mereka tanpa melibatkan kos yang tinggi tetapi meriah.

Abdullah Hafiezan Abdul Malek dan pasangannya Nurul Hawa Muhammad, berkata mereka hanya perlu menyediakan RM2,000 sahaja untuk menyertai majlis ini.

“Kami bayar RM2,000 sahaja dan selebihnya ditanggung penganjur. Walaupun tak berbelanja besar tetapi tetap meriah dan semoga majlis seperti ini diteruskan untuk memberi peluang kepada pasangan lain lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang serba serbi semuanya mahal,” kata Abdullah Hafiezan.

IMG_20171008_150227Beliau berkata demikian pada Majlis Perkahwinan Perdana Belia Shah Alam & Forum “Membina Keluarga Sakinah 2017” anjuran Pengerak Belia Tempatan MBSA di Taman Rakyat Kampung Jalan Kebun Seksyen 30, di sini, hari ini.

Pasangan Fahmi Osman dan Suzila Mohd Jani pula berkata, semoga majlis ini memberi inspirasi kepada pasangan lain untuk mendirikan rumah tangga dalam suasana lebih sederhana.

“Apa yang penting sebenarnya perkara wajib tetap dapat disempurnakan tanpa mengeluarkan kos besar yang sudah tentu satu pembaziran dan akhirnya memberi kesan di kemudian hari,” kata Fahmi Osman.

IMG_20171008_150140Sementara itu Wan Abdul Rahmah Wan Ismail dan pasangannya, Nur Farhanah Rahim pula berkata, selain menjimatkan mereka juga menerima Hadiah Perkahwinan Belia melalui Skim Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional bernilai RM500 sebagai galakan kepada pasangan terlibat menabung.

“Syukur kerana kami bukan sahaja dapat berjimat tetapi juga menerima Hadiah Perkahwinan Belia yang sudah tentu bermakna buat pasangan yang baru mendirikan rumah tangga seperti kami,” katanya.

Terdahulu, majlis akad nikah dijalankan disebelah pagi di masjid kampung terbabit sebelum acara kemuncaknya di sebelah tengah hari.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

=EZY=