Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Perpaduan kaum, tiang seri Kerajaan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 OKT : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendukung sepenuhnya pendirian tegas Raja-Raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ia seiring penegasan mengenai keperluan memahami dan menghormati prinsip-prinsip murni yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutan.

“Pendirian Raja-Raja Melayu adalah ibarat cahaya yang menyuluh – memimpin rakyat mendepani cabaran semasa termasuk menjawab tindakan melampau individu dan kumpulan yang menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.

“Umat Islam dan rakyat Malaysia perlu menjunjung pedoman Raja-Raja Melayu tentang sifat Islam yang toleran, sederhana dan inklusif.

“Pedoman Raja-Raja Melayu menzahirkan keutuhan institusi Raja Berperlembagaan dan peranan signifikan Raja-Raja Melayu sebagai suara nurani dan aspirasi rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, pendirian tegas itu menuntut prinsip toleransi, kesederahaan dan keharmonian yang akan menjadi tiang seri Kerajaan Negeri.

“Atas prinsip ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya Negeri Selangor untuk menolak ‘gutter politics’, budaya samseng dan fahaman rasis.

“Marilah kita bersama membangunkan sebuah bangsa yang gagah, bermaruah, berwibawa dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.

Terdahulu, Raja-Raja Melayu menyeru imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari dengan tindakan keterlaluan serta boleh memisahkan rakyat.

Perkara itu disampaikan Penyimpan Mohon Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berhubung kebimbangan terhadap isu keharmonian dan perpaduan antara kaum negara kini.

=EZY=