Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntukan JPM tertinggi RM17.4 bilion perlu sistem semak dan imbang

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 OKT: Peruntukan tinggi mencecah RM17.4 bilion diberikan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah satu pembaziran, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, peruntukan itu diletakkan di bawah seorang individu tanpa pengawasan atau sistem ‘check and balance’ untuk memastikan perbelanjaan dilakukan secara berhemah dan telus.

“Ia amat mengecewakan kerana belanja mengurus diletakkan begitu tinggi.

“Dengan kos sara hidup yang begitu membebankan, Perdana Menteri dan JPM masih terus berbelanja mewah dan tidak peduli masalah rakyat,” katanya kepada Selangor Kini sejurus menyempurnakan Program Jom Sihat PNSB, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas peruntukan tambahan RM1.5 bilion kepada JPM pada 2018 berbanding tahun semasa, bersamaan 6.2 peratus daripada bajet negara.

Ia merupakan sebahagian daripada Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 27 Oktober lalu.

Najib memperuntukkan RM234.25 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Antara lain, Najib turut memperkenalkan beberapa inisiatif mirip program di Selangor seperti MyBrain, Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (Adam50) dan Off River Storage (ORS).

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, langkah Najib itu membuktikan inisiatif Selangor adalah terbaik.

“Kita dapat saksikan beberapa pengumuman mengikuti jejak langkah Selangor.

“Akhirnya Perdana Menteri sendiri akui apa yang kita lakukan adalah terbaik,” katanya.

 

=EZY=