Categories
SUKANKINI

Piala Presiden: Selangor tingkat cabaran, kekang kebangkitan Terengganu

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 14 OKT: Skuad Piala Presiden Selangor akan meningkatkan cabaran bertemu Terengganu dalam perlawanan akhir kedua di Kuala Terengganu bagi memastikan kemenangan seterusnya muncul juara.

Bagi Ketua jurulatih, Omar Ali, meskipun pasukan bawah 21 tahun Red Giants itu memperoleh kelebihan dua gol namun yakin skuad dibimbingnya akan berdepan tentangan hebat bertemu pasukan tuan rumah nanti.

“Kita belum selesa (dengan dua gol) kerana kita mendapat gol ini dalam tempoh 90 minit permainan (di tempat sendiri) dan tidak mustahil Terengganu juga mampu melakukannya di laman mereka pula,” katanya dalam sidang media di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini, semalam.

Dalam perlawanan akhir pertama itu, Selangor B21 mengalahkan Terengganu B21 2 – 0 menerusi jaringan Badrul Amin Rusalan pada minit 14 dan Muhd Syahmi Safari (m27).

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terenganu, 20 Oktober ini.

Biarpun menghadapi cabaran sengit Terengganu B21 dalam perlawanan itu, Omar tetap berpuas hati dengan pasukannya menggunakan pelung dicipta sebiknya bagi menghaslkan jaringan.

“Kita banyak mencipta peluang seperti perlawanan suku akhir dan separuh akhir tetapi malam ini (semalam) menggunakan kesempatan dengan baik serta menjaringkan dua gol.

“Pemain memberi komitmen sepenuhnya dalam perlawanan ini dalam usaha mengatasi lawan dan memenanginya,” katanya menambah Selangor B21 melakukan persiapan rapi sejak tahun lalu.

Beliau berkata, kehadiran beberapa pemain muda skuad Liga Super Selangor juga memantapkan pasukannya dalam memburu kejuaraan kali terakhir dikecapi pada 2008.

=EZY=