Categories
SUKANKINI

Piala Presiden: Terengganu mahu bangkit biarpun ketinggalan 2-0

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 14 OKT: Biarpun ketinggalan dua gol tetapi Ketua jurulatih, Mustaffa Kamal Abd Wahab, yakin Terengganu B21 akan bangkit memburu kemenangan dalam perlawanan akhir kedua di Kuala Terengganu, minggu depan.

Dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sini, semalam, skuad bimbingannya dikalahkan Selangor B21 2 – 0 dengan gol jaringan Badrul Amin Rusalan (m14) dan Muhd Syahmi Safari (m27).

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terenganu, 20 Oktober ini.

Bagi memastikan misi mencipta kemenangan di laman sendiri dan kejuaraan diraih kali terakhir pada 2006 menjadi kenyataan, beliau berkata, pengurusan sudah mengenal pasti kelemahan pasukannya dalam perlawanan itu dan akan memperbaikinya untuk memantapkan persembahan pada peringkat kedua nanti.

“Ketinggalan dua gol bukan jurang sangat besar, kita sudah mengenal pasti segala kesilapan dan juga kelebihan Selangor B21.

“Kita akan cuba membuat kejutan di tempat sendiri nanti dan yakin pemain akan menggunakan kelebihan itu dengan membuktikan kemampuan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium MPS.

Beliau berkata, kemenangan diraih Selangor B21 juga adalah kesilapan pasukannya dan insiden sama diyakini tidak akan berulang dalam perlawanan akhir kedua kerana Terengganu B21 mempunyi rekod baik ketika bermain di laman sendiri.

“Kita akan memberikan persembahan sebaik mungkin dan melakukan segalanya bagi mencapai kemenangan,” katanya.

=EZY=