Categories
SUKANKINI

PKNS FC kecewa tumbang 2-4 kepada Felda United

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OKT: PKNS FC mengakhiri saingan Liga Super 2017 dengan kedukaan apabila tewas 2-4 kepada Felda United di Stadium Shah Alam.

Felda United terlebih dahulu menguji gawang PKNS FC menerusi tandukan pemain import Ifedayo Omosuyi seawal minit kedua tetapi tidak menepati sasaran.

Shahrul Azhar Ture turut melakukan percubaan jarak jauh ke pintu gol Felda United pada minit kelima tetapi melewati palang gol.

Seminit kemudian Thiago Agusto hampir meletakkan pelawat di hadapan apabila membuat larian solo dari tepi padang dan memperdaya dua pertahanan PKNS FC tetapi rembatannya gagal menerjah jaring.

Thiago Agusto sekali lagi hampa pada minit ke-12 apabila tampanan beliau di hadapan gol berjaya dinafikan pertahanan PKNS FC dalam situasi kelam kabut.

Penjaga gol PKNS FC, Tauffiq Ar Rasyid Johar bertindak cemerlang apabila melayangkan badan ke kanan pintu gol bagi menepis percubaan Curran Singh Ferns dari luar kota penalti pada minit ke-14.

PKNS FC akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-23 menerusi rembatan Sharul Azhar Ture.

Gerakan satu-dua yang dimulakan Mohd Safee Mohd Sali berjaya memperdaya pertahanan Felda United sebelum Shahrul tenang melepaskan rembatan menewaskan Mohd Farizal Harun.

Seminit kemudian, S Gurusamy hampir menggandakan jaringan apabila berjaya melepasi perangkap offside tetapi rembatan dilepaskan sekadar menampan palang gol Felda United.

PKNS FC terlepas peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-39 apabila Shahrul Azhar gagal memperdaya Mohd Farizal selepas melepas menerima lorongan cantik S Gurusamy.

Menuju waktu rehat, pemain gantian Mohammad Khairul Ismail hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti tetapi Tauffiq Ar Rasyid lebih bersedia untuk menangkap kemas bola itu.

Bersambung babak kedua, Felda United akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Thiago Gusto pada minit ke-49.

Berpunca daripada sepakan percuma, Thiago berjaya melepasi kawalan pertahanan PKNS FC mudah menampan bola untuk bangkit mengikat kedudukan 1-1.

Felda United terus bernafsu memburu jaringan kedua dan akhirnya usaha mereka berbalas apabila Thiago Agusto sekali lagi memcatat nama selaku penjaring.

Beliau yang tidak dikawal berjaya menyambut hantaran ketua pasukan, Muhammad Shukor Adan sebelum menanduk mudah pada minit ke-73.

Seminit kemudian Ifedayo Omosuyi hampir menggandakan jaringan tetapi rembatannya sekadar singgah ke tiang gol PKNS FC.

Di penghujung permainan, Abdou Jammeh berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-89 selepas berjaya merembat kencang ke gawang Felda United.

Namun ia tidak bertahan lama apabila Zah Ragan Krangar kembali meletakkan Felda United di hadapan mendahului 2-3.

Ketika tambahan masa, Thiago Agusto melengkapkan hatrick apabila melepaskan rembatan kencang bagi memastikan kemenangan mutlak 2-4 milik Felda United.

=EZY=