Categories
NASIONAL

Polis perlu siasat kematian anggota TLDM secara menyeluruh

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 OKT: Pihak polis perlu menjalankan siasatan menyeluruh supaya insiden kematian membabitkan dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak berulang.

Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid berkata, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan TLDM masih lagi releven jika ia dipatuhi.

“Biar polis jalankan siasatan. Namun saya percaya, kalau SOP sedia ada dipatuhi, kejadian ini tidak akan berlaku kerana ini mungkin terjadi akibat pelaksanaannya yang terlalu berlebih-lebih,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, TLDM mengesahkan dua anggotanya yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan berada dalam keadaan sihat sebelum dimasukkan ke pusat tahanan itu.

LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan berkenaan dipercayai didera berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Bedah siasat dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala Muhammad Lailatuliman meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.

Susulan itu, lima anggota TLDM direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Kes ini dianggap sebagai kejadian malang kepada TLDM kerana sepanjang 28 tahun saya berkhidmat, seingat saya ini merupakan kejadian pertama kali berlaku membabitkan anggota TLDM,” katanya.

=EZY=