Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Potong bajet, apa hala tuju pendidikan negara?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Pemotongan dana universiti dalam Bajet 2018 lalu menimbulkan persoalan besar terhadap sejauh mana kesungguhan Kerajaan Persekutuan menentukan hala tuju bidang pendidikan negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mempersoal kewajaran pemotongan bajet dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Apa kualiti pendidikan yang ingin kita capai dengan pengurangan peruntukan ini dalam keadaan semua kos sedang meningkat?

“Sekali lagi, saya ingin tegaskan Kerajaan Persekutuan tidak boleh memperjudikan aspek pendidikan tinggi negara,” katanya pada sesi Perbahasan Belanjawan 2018, di Dewan Rakyat, pagi ini.

Terdahulu, perdana menteri mengumumkan pengurangan peruntukan kepada universiti awam seluruh negara dengan nilai pengurangan kepada RM1,671 bilion kepada RM1,670 bilion pada 2017.

Pengurangan membabitkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan nilai peruntukan RM407, 224 juta pada tahun 2017 kepada RM400 juta pengurangan sebanyak RM7.224 juta.

Manakala, Universiti Malaysia Pahang (UMP) iaitu peruntukan RM 213,459 juta pada tahun 2017 kepada RM210 juta iaitu pengurangan RM 3.459 juta.

Bagi Universiti Teknologi MARA (UiTM), peruntukan RM 1.671 bilion pada tahun 2017 kepada RM1.670 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM1 juta.

Wan Azizah berkata, pengurangan itu akhirnya akan menyebabkan lebih banyak masalah negatif timbul pada masa akan datang.

“Pengurangan ini menjadi salah satu punca yang menyebabkan kualiti pendidikan negara semakin merosot dan golongan remaja serta belia mengalami masalah akhlak juga sikap.

“Ini menjadi salah satu punca terjadinya beberapa kejadian buli yang berlaku dalam negara dan memeranjatkan semua pihak termasuk dalam kalangan penuntut Institusi Pengajian Tinggi,” katanya.