Categories
EKONOMI

Ringgit diniaga rendah 4.2350/2380 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 25 OKT: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), hari ini setelah pelabur beralih minat kepada dolar dengan harapan Amerika Syarikat akan meluluskan rancangan mengurangkan cukai pada akhir tahun.

Peniaga berkata, berita Presiden AS, Donald Trump akan bertemu senator Republikan berhubung isu pembaharuan cukai lewat hari ini merangsang sentimen pelabur.

“Ini menjejaskan permintaan bagi mata wang pasaran pesat membangun, termasuk ringgit,” katanya.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.2350/2380 berbanding dolar AS daripada 4.2320/2350 pada 6 petang Selasa.

Bagaimanapun, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1055/1098 daripada 3.1077/1110 dan meningkat berbanding yen pada 3.7208/7238 daripada 3.7234/7267 ketika ditutup semalam.

Ringgit naik berbanding pound pada 5.5589/5645 daripada 5.5769/5826 pada Selasa, tetapi rendah berbanding euro kepada 4.9799/9839 daripada 4.9773/9825, yang dicatatkan semalam.

SUMBER: BERNAMA