Categories
SELANGOR

Rizab Selangor RM4 bilion, agenda Peduli Rakyat jadi keutamaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 7 OKT : Peningkatan rizab kewangan negeri mencecah RM4 bilion bukan jaminan kepada pentadbiran negeri untuk mengamalkan perbelanjaan boros.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tumpuan Kerajaan Negeri adalah untuk komited melaksanakan pembangunan dasar berkebajikan untuk rakyat di negeri itu.

“Pertumbuhan ekonomi kini semakin baik dengan peningkatan jumlah rizab Kerajaan Negeri mencecah RM4 bilion.

“Duit ini tidak saya masukkan ke dalam akaun peribadi. Apatah lagi untuk membina mahligai besar untuk Menteri Besar.

PEDULI SIHAT“Tetapi saya mahu setiap ringgit ini dikembalikan kepada rakyat Selangor menerusi inisiatif dan dasar kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Program Smart Sewa di Bandar Kinrara Puchong.

Terdahulu, walaupun ekonomi tidak menentu dan pengurusan kewangan lemah di peringkat Kerajaan Persekutuan, Selangor sebaliknya terus mengukuhkan rizabnya apabila mencatatkan rekod terbaru dengan melepasi RM4.1 bilion.

Jumlah itu sekali gus meletakkan Selangor kekal sebagai negeri termaju dan menjadi penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mohamed Azmin percaya, pertambahan rizab Kerajaan Negeri itu berlaku disebabkan amalan pentadbiran negeri mengekalkan kecemerlangan pengurusan kewangan dan ekonomi negeri.

=EZY=