Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kini di mata dunia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 7 OKT: Kecemerlangan pentadbiran Selangor dikenali masyarakat antarabangsa kerana amalan integriti dan ketelusan pentadbiran negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu dibuktikan apabila pelabur luar kekal memilih Selangor sebagai destinasi pilihan terbaik pelaburan di rantau ini.

“Selangor kini melakar nama di peringkat antarabangsa kerana kejayaan pentabiran Kerajaan Negeri ini yang berpegang kepada prinsip tanggungjawab, integriti dan ketelusan.

“Ciri-ciri inilah telah menarik perhatian pelabur dalam dan luar negara untuk mengekalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan,” katanya.

RAKYAT SELANGORBeliau berkata, pendekatan diamalkan pentadbiran Kerajaan Selangor berbanding Putrajaya turut mendorong kepada kejayaan itu.

Katanya, pentadbiran Selangor tidak perlu ‘menjual nama negeri’ sebagaimana dilakukan pentadbiran tertinggi Putrajaya kini.

“Perkara yang membezakan Selangor dan Persekutuan, mereka melutut dengan negara asing (untuk raih pelabur).

“Namun, pelabur luar pula yang datang ke Selangor untuk melabur di negeri ini,” katanya.

Mohamed Azmin berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Smart Sewa di Dewan Pangsapuri Damai Utama, pagi ini.

Terdahulu, Selangor menerima kemasukan pelabur dari luar negara antaranya Jepun, China, Switzerland, Amerika Syarikat dan Sweden.

=EZY=