Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Rusia pamer tentera masa hadapan ala Star Wars

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 13 OKT: Rusia mempertingkatkan kemampuan ketenteraannya apabila memperkenalkan ‘tentera masa hadapan’ dengan sut terbaharu bakal digunakan angkatan tentera negara itu dengan teknologi terkini.

Sut tempur canggih itu menyerupai pakaian seperti dalam filem Star Wars yang digunakan dalam watak tentera Stormtrooper.

Sut diberi nama The Ratnik-3 (Warrior-3) adalah siri tempur infantri generasi ketiga yang menggabungkan eksoskeleton terbina dalam dan hampir 60 aksesori berbeza.

Ia termasuk pelbagai senjata akhir model, sensor dan peralatan pelindung yang direka untuk beroperasi di bawah hampir semua keadaan cuaca termasuk dalam peperangan nuklear.

Generasi pertama prototaip sistem Ratnik dilaporkan telah diedarkan untuk beberapa unit tentera terpilih pada 2013 dan dilihat oleh The New York Times yang dipakai oleh unit Rusia yang tidak bertanda di Crimea sejurus selepas Moscow berhadapn krisis dengan bekas wilayah Ukraine pada 2014.

Pada Januari 2015, Kementerian Pertahanan Rusia mengumumkan penghantaran pertama sebanyak 50,000 kits untuk tahun itu, menurut The Moscow Times, dan, menjelang November 2016, RIA Novosti melaporkan bahawa semua unit tentera laut Rusia akan dilengkapi dengan sistem Ratnik, termasuk sistem peluru dan pelampung terkini.

THE MAIL ONLINE melaporka sut terkini Ratnik-3 itu direka bagi mempertingkatkan kekuatan dan stamina askar, perisai badan dan jam yang mampu melindungi askar daripada letupan nuklear sekali gus dapat memberi kelebihan kepada pasukan tentera dalam medan perang pada masa akan datang.

Kit pakaian berwarna gelap yang dikenali sebagai ‘Ratnik’ itu mempunyai topi keledar digital dengan gaya seperti Stormtrooper, lengkap dengan visor kaca berwarna dan skrin yang memaparkan maklumat sasaran.

Awal bulan ini, Ketua Turus Tentera Darat Rusia, Kolonel Jeneral Oleg Salyukov berkata, pasukan itu sedang menyiapkan kajian saintifik dalam mewujudkan reka bentuk sut tentera masa depan, Ratnik-3.

“Pelaksanaan projek akan membolehkan peningkatan prestasi seorang askar kepada 1.5 kali ganda dalam menyelesaikan pelbagai tugas,” katanya kepada akhbar Krasnaya Zvezda.

Salyukov berkata, berat keseluruhan sut itu akan dikurangkan kepada 30 peratus.

Menurut laporan, kit pakaian Ratnik mengandungi lima sistem utama termasuk sokongan hayat, arahan dan komunikasi, penglibatan, perlindungan dan subsistem penjimatan tenaga.

Sut itu direka bentuk untuk digunakan sepanjang masa dalam semua keadaan cuaca.

“Ratnik terdiri daripada 59 peralatan termasuk pelbagai jaket kalis peluru dan topi keledar, pakaian tempur, fon kepala dan kaca mata.

“Selain itu, kit Ratnik dilengkapi pelancar bom tangan, raifal tempur dan penembak hendap, peluru, pisau perang dan penglihatan yang menggabungkan imej optik dan haba,” katanya.

Awal tahun ini, sut setinggi 1.8 meter itu yang dicipta oleh Central Scientific Institute for Precision Machine Engineering dipamerkan di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan di Moscow.

=EZY=