Categories
SUKANKINI

Safee Sali belum pasti kekal bersama PKNS FC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OKT: Penggempur PKNS FC, Mohd Safee Mohd Sali masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya bersama pasukan musim hadapan.

Katanya, beliau akan memikirkannya dalam masa terdekat bagi memudahkan beliau dan pasukan membuat persiapan bagi kempen musim 2018.

“Untuk musim hadapan saya belum buat keputusan tetapi saya akan lakukannya secepat mungkin sebagai persiapan musim hadapan,” katanya.

Mohd Safee membuat keputusan menyertai PKNS FC selama semusim selepas beraksi bersama Johor Darul Takzim (JDT) sejak musim 2013.

Beliau sebelum ini pernah beraksi bersama Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur selain berkelana di Liga Indonesia bersama kelab Pelita Jaya.

=EZY=