Categories
SUKANKINI

PKNS FC: Kekal Liga Super pencapaian baik

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OKT: Penyerang PKNS FC, Mohd Safee Mohd Sali mengakui berpuas hati dan bangga dengan persembahan pasukannya musim ini dan menepati sasaran untuk kekal dalam Liga Super Malaysia (MSL) musim hadapan.

Menurutnya, Red Ants terpaksa bergelut sejak awal musim selain terpaksa melakukan pertukaran jurulatih di pertengahan kempen 2017.

“Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan sepanjang musim ini kerana kita bergelut sejak awal hingga akhir.

“Dengan pertukaran jurulatih dan pemain. Untuk berada dipertengahan liga adalah keputusan yang baik.

“Selepas mengharungi musim ini kita berjaya untuk kekal bersaing dalam Liga Super musim hadapan,” katanya.

Musim ini merupakan tahun pertama PKNS FC beraksi dalam MSL selepas mempamerkan kecemerlangan dalam kempen Liga Perdana musim 2016.

PKNS FC mempertaruhkan khidmat jurulatih, E Elavarasan pada awal kempen liga sebelum beliau digantikan dengan jurulatih Akademi Merah Kuning, Sven Gartung.

Jodoh Gartung bersama PKNS FC turut tidak panjang di penghujung musim dan akhirnya digantikan dengan Muhammad Adam Abdullah selaku pemangku jurulatih.

Mengulas mengenai aksi semalam Mohd Safee berkata hilang konsentrasi menjadi punca utama mereka tewas walaupun berjaya mendahului pada babak pertama.

“Kita tidak berpuas hati dengan keputusan ini (semalam) sebab kita dah mendahului pada babak pertama.

“Konsentrasi kita kurang dan akhinya kita tewas di perlawanan terakhir,” katanya.

Felda United menafikan kebangkitan PKNS FC di penghujung permainan dengan dua gol pada masa tambahan untuk menang 2-4.

=EZY=