Categories
GLOBAL

Sepanyol bakal berdepan lebih banyak demontrasi Catalonia

MADRID 8 OKT: Sepanyol dijangka berdepan lebih banyak protes walaupun Madrid berusaha meredakan krisis dengan membuat permohonan maaf terhadap penduduk Catalonia yang dicederakan polis baru-baru ini.

Presiden Catalonia, Carles Puigdemont mengumumkan rantau itu akan mengisytiharkan kemerdekaan secara unilateral, namun Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy berikrar menghalang, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Beliau juga menolak gesaan orang tengah dalam pertikaian yang mengundang kegelisahan termasuk daripada pemain bola sepak Barcelona dan Real Madrid.

Krisis politik Sepanyol itu menimbulkan kebimbangan kekacauan yang semakin meningkat di rantau timur laut, kawasan mesra pelancong dan menempatkan 7.5 juta penduduk.

Golongan antikemerdekaan menggesa demonstrasi di seluruh Sepanyol dan perhimpunan besar di Barcelona.

Orang awam yang menyokong dialog untuk menamatkan krisis itu juga semalam merancang untuk berkumpul di seluruh negara.

Inisiatif tanpa nama yang tersebar di media sosial itu mahu mempromosikan rundingan menggunakan slogan: ‘Sepanyol lebih baik berbanding para pemimpinnya’.

Kelmarin menyaksikan tanda-tanda awal Sepanyol bersedia untuk berundur daripada konflik politik yang berisiko menimbulkan ketidakstabilan di Eropah.

Selepas beberapa hari ketegangan, kerajaan pusat menyatakan rasa kesal kecederaan yang berlaku dan mencadangkan Catalonia mengadakan pilihan raya serantau untuk menyelesaikan krisis.

=EZY=