Categories
GLOBAL

Catalonia tangguh pemilihan presiden

BARCELONA 31 JAN: Catalonia menangguhkan pemilihan presiden wilayah ini yang baharu sementara menunggu notis lanjut.

Ia selepas mahkamah tinggi Sepanyol memutuskan pemimpin pemisah, Carles Puigdemont tidak layak memegang jawatan itu ketika beliau kekal melarikan diri di Belgium.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan Speaker Parlimen, Roger Torrent tidak menyatakan sebarang sebab penangguhan itu namun menegaskan beliau tidak akan mencalonkan sebarang calon alternatif.

Keputusan parti pemisah yang menang besar pilihan raya wilayah itu baru-baru ini dengan memilih Puigdemont sebagai calon Presiden mengandaikan Catalonia akan meneruskan usaha berpisah dari Sepanyol.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Presiden Catalonia dipecat Madrid lari ke Belgium

BRUSSELS 1 NOV: Presiden Catalonia yang dipecat Madrid pada minggu lalu, Carles Puigdemont bercakap dengan seorang peguam di Belgium ketika pendakwa raya Sepanyol mahu mendakwanya kerana memberontak.

Peguam berkenaan yang mahir dalam isu suaka, Paul Bekaert bagaimanapun berkata, Puigdemont berada di Belgium bukan untuk memohon suaka tetapi mahu melakukan persediaan undang-undang bagi menangkis sebarang langkah yang akan diambil oleh Madrid, lapor AFP.

“Berhubung perkara ini (suaka), tiada apa yang diputuskan lagi.

“Saya bercakap secara peribadi dengannya di Belgium dan beliau melantik saya menjadi peguamnya.

“Saya berpengalaman lebih 30 tahun dalam isu ekstradisi dan suaka politik untuk kumpulan pemisah Basque dan kerana ini beliau datang menemui saya,” kata Bekaert kepada stesen televisyen VRT.

Terdahulu, media Sepanyol melaporkan bahawa Puigdemont pergi ke Belgium bersama beberapa menterinya yang dipecat.

Dalam perkembangan berkaitan, ketua pendakwa raya Sepanyol, Jose Manuel Maza berkata, beliau akan mengenakan beberapa pertuduhan termasuk memberontak dan menghasut terhadap Puigdemont yang dipecat Madrid pada Jumaat lalu.

Pemimpin Catalonia itu boleh dipenjara sehingga 30 tahun sekiranya didapati bersalah.

Mahkamah di Sepanyol akan memutuskan sama ada akan menerima pertuduhan tersebut.

Sementara itu, beberapa pakar berkata, Puigdemont sukar mendapatkan status pelarian politik di Belgium.

“Sukar bagi rakyat negara Kesatuan Eropah (EU) untuk mendapatkan suaka politik,” kata pegawai agensi pelarian CGRA di Belgium, Dirk Van Den Bulck dalam wawancara bersama saluran televisyen RTBF.

Pemohon suaka perlu membuktikan wujud penindasan dan dia tidak mungkin mendapat perlindungan keselamatan di negara asalnya, kata Van Den Bulck, yang mana semua ciri tersebut bertentangan dengan hak asasi manusia yang sudah menjadi amalan anggota EU.

Menteri Imigresen Belgium, Theo Francken membayangkan pada Sabtu lepas bahawa Puigdemont akan diberikan suaka di Belgium tetapi Perdana Menteri, Charles Michel kemudian menyangkal kenyataan tersebut.

=EZY=

 

 

Categories
GLOBAL

Situasi di Catalonia terus tegang

MADRID 31 OKT: Kawalan Sepanyol ke atas Catalonia diuji apabila ahli politik dan kakitangan awam kembali bertugas ketika wujud ketidaktentuan sama ada mereka akan menerima pemerintahan langsung kerajaan Pusat bagi menghalang kemerdekaan wilayah berkenaan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan beratus-ratus ribu penyokong propenyatuan Sepanyol berhimpun di jalan-jalan raya di Barcelona kelmarin dalam bantahan terbesar setakat ini oleh majoriti rakyat yang berdiam diri sewaktu Presiden Catalonia, Carles Puigdemont lantang mendesak kemerdekaan rantau tersebut.

Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy mengambil alih kawalan Catalonia pada Jumaat lalu. Beliau memecat kerajaan pimpinan Puigdemont dan menetapkan 21 Disember ini sebagai tarikh pilihan raya mengejut.

Bagaimanapun, sebilangan pegawai kanan Catalonia termasuk Puigdemont dan Timbalan Presiden, Oriol Junqueras menegaskan untuk tidak menerima keputusan Madrid kerana hanya ‘rakyat Catalonia’ yang boleh memecat mereka.

Kumpulan komuniti utama di sebalik kempen prokemerdekaan menggesa protes keingkaran besar-besaran dan mengeluarkan arahan terperinci kepada kira-kira 200,000 kakitangan awam Catalonia mengenai bagaimana mereka harus bertindak.

Sebahagian besar penjawat awam memulakan tugas pada jam 9 pagi (waktu tempatan) semalam dan jika terlalu ramai daripada mereka tidak hadir ataupun enggan menerima arahan Madrid.

Ia akan menimbulkan keraguan tentang strategi kerajaan Sepanyol untuk menamatkan krisis selama sebulan itu yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara dan mengapikan kekacauan.

Tiada kepastian sama ada barisan pegawai kanan kerajaan serta ahli politik yang mengisytiharkan kemerdekaan wilayah itu daripada Sepanyol pada Jumaat lalu akan cuba memasuki pejabat atau sama ada pasukan polis Catalonia, Mossos d’Esquadra akan menghalang mereka.

Akhbar La Vanguardia kelmarin menyatakan ahli Kabinet Catalan sudah meninggalkan pejabat masing-masing yang kini berada di bawah kuasa dan kawalan kerajaan Pusat.

Beberapa menteri Sepanyol berkata pada hujung minggu lalu bahawa mereka percaya penjawat awam Catalonia akan patuh kepada arahan Madrid dan memberi amaran untuk memecat mereka yang ingkar.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol menamakan ketua polis baharu untuk wilayah Catalonia pada Sabtu lalu dan mengarahkan kira-kira 17,000 anggotanya supaya bersikap berkecuali.

Sementara itu, parti prokemerdekaan, Esquerra Republicana de Catalunya (ERC) mengumumkan akan mengambil bahagian dalam pilihan raya wilayah berkenaan pada 21 Disember ini sebagai tindak balas terhadap keputusan Madrid untuk menggulingkan kerajaan Catalonia dan membubarkan parlimen.

=EZY=

 

 

 

Categories
GLOBAL

Ketua polis wilayah Catalonia dipecat

MADRID 29 OKT: Sepanyol mengambil langkah untuk merampas kawalan langsung Catalonia semalam dengan memecat ketua polisnya sehari selepas Parlimen rantau berkenaan mengisytiharkan kemerdekaan yang mengejutkan seluruh Eropah.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan pemecatan Ketua Polis Serantau Mossos d’Esquadra, Josep Lluis Trapero dibuat berikutan pemecatan Presiden Catalonia, timbalannya, semua menteri dan keseluruhan Parlimen kelmarin.

Bagi membantah apa yang disifatkannya sebagai ‘peningkatan keingkaran’ itu, Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy menggesa pilihan raya umum pada 21 Disember di rantau itu di bawah kuasa yang diberikan oleh Senat.

Tindakan itu diambil sebagai tindak balas terhadap Ahli Parlimen Catalonia yang mengundi untuk mengisytiharkan ia sebagai sebuah republik yang bebas.

Pemecatan Trapero yang dilihat sebagai sekutu pemimpin pemisah rantau itu diumumkan dalam warta rasmi kerajaan semalam.

Madrid menuduh Trapero tidak mematuhi perintah mahkamah agar menghalang referendum kemerdekaan yang diharamkan pada 1 Oktober lalu.

Sebaliknya, undi itu terganggu, berlaku keganasan dalam beberapa kes oleh pegawai-pegawai polis kebangsaan Sepanyol dan pasukan separa tentera agensi penguatkuasaan Guardia Civil.

Semua pihak minggu ini mahu melihat sama ada pemimpin pemisah, Carles ­Puigdemont bersedia untuk mengetepikan perutusan sementara dari Madrid.

Ketika berucap selepas pengisytiharan kemerdekaan di parlimen kelmarin, ­Puidgemont menyeru para aktivis agar mengekalkan momentum secara aman.

Semalam, di Madrid beribu-ribu orang awam menyertai demonstrasi menggesa perpaduan di Plaza de Colon, sehari selepas kawalan terus dikenakan terhadap Catalonia.

Timbalan Perdana Menteri Sepanyol, Soraya Saenz de Santamaria dijangka bertemu dengan setiausaha-setiausaha negeri yang mungkin akan mengambil alih kementerian di Catalonia tidak lama lagi.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Eropah, Donald Tusk menegaskan Madrid tetap akan menjadi pengantara bagi menyelesaikan isu tersebut, tetapi menggesanya bertindak tegas mengekang usaha tersebut.

“Saya berharap kerajaan Sepanyol akan memihak kepada hujah, bukannya pertikaian,” kata Tusk di laman Twitter.

Rantau Catalonia yang terdiri daripada empat buah wilayah memiliki kira-kira 7.5 juta penduduk.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Parlimen Catalonia dibubar, pilihan raya 21 Disember

BARCELONA 28 OKT: Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy memutuskan untuk membubarkan Parlimen Catalonia dan memecat Pemimpin wilayah itu, Carles Puigdemont serta semua ahli kabinetnya.

Rajoy turut mengisytiharkan pilihan raya kecil wilayah itu pada 21 Disember ini bagi memilih pemimpin baharu menggantikan kesemua yang dipecat.

Keputusan itu dibuat selepas wilayah Catalonia mengumumkan kemerdekaan dari Sepanyol setelah parlimennya mengadakan undian semalam, lapor AGENSI.

Ahli Parlimen Catalonia memutuskan untuk mengisytiharkan kemerdekaan daripada Sepanyol semalam ketika Madrid berikrar akan ‘memulihkan undang-undang’ dan memusnahkan usaha pemisahan tersebut.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan Parlimen rantau berkenaan di Barcelona meluluskan resolusi untuk mengisytiharkan Catalonia sebuah negara republik yang merdeka ketika beribu-ribu aktivis prokemerdekaan berhimpun di luar bangunan Parlimen.

Usul kemerdekaan itu diluluskan dengan 70 undi menyokong berbanding 10 undi menentang dengan dua ahli Parlimen tidak hadir.

Sementara itu, Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy memberikan tidak balas segera dengan meminta semua rakyat Sepanyol supaya bertenang.

“Undang-undang akan kembali pulih di Catalonia,” katanya di laman Twitter sejurus selepas keputusan kontroversi itu.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Catalonia isytihar kemerdekaan jadi negara republik

MADRID 28 OKT: Ahli Parlimen Catalonia memutuskan untuk mengisytiharkan kemerdekaan daripada Sepanyol semalam ketika Madrid berikrar akan ‘memulihkan undang-undang’ dan memusnahkan usaha pemisahan tersebut.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan Parlimen rantau berkenaan di Barcelona meluluskan resolusi untuk mengisytiharkan Catalonia sebuah negara republik yang merdeka ketika beribu-ribu aktivis prokemerdekaan berhimpun di luar bangunan Parlimen.

Usul kemerdekaan itu diluluskan dengan 70 undi menyokong berbanding 10 undi menentang dengan dua ahli Parlimen tidak hadir.

Sementara itu, Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy memberikan tidak balas segera dengan meminta semua rakyat Sepanyol supaya bertenang.

“Undang-undang akan kembali pulih di Catalonia,” katanya di laman Twitter sejurus selepas keputusan kontroversi itu.

Dewan tinggi Parlimen Sepanyol dan Senat mengadakan sidang berasingan pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) untuk membincangkan pengaktifan Artikel 155 perlembagaan Sepanyol bagi memboleh­kan kerajaan pusat menguasai Catalonia.

Rajoy menggesa barisan senator melaksanakan pemerintahan langsung di Catalonia, namun wujud keraguan sama ada warga tempatan akan mematuhi arahan Madrid.

Krisis itu mengundng perpecahan dalam kalangan penduduk Catalonia dan mencetuskan kebimbangan di Sepanyol. Ia mendorong banyak perniagaan keluar dari rantau mewah itu dan mengakibatkan Eropah khuatir masalah Catalonia akan menghidupkan sentimen pemisahan di benua itu.

Rajoy memerlukan kelulusan Dewan Senat yang dikuasai parti pimpinannya, Parti Rakyat untuk memecat kerajaan Catalonia dan melaksanakan pemerintahan langsung Madrid di wilayah autonomi tersebut.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Sepanyol gantung kerajaan Catalonia

MADRID 21 OKT: Kerajaan Sepanyol mengumumkan menggantung kerajaan pemisah Catalonia dan mengadakan pilihan raya baharu di wilayah itu dalam usaha menghalang pemimpinnya daripada mengisytiharkan kemerdekaan.

Bercakap selepas mesyuarat tergempar Kabinet, Perdana Menteri, Mariano Rajoy, berkata kerajaannya tidak mempunyai pilihan selepas kerajaan pemisah bertindak secara sebelah pihak, melanggar undang-undang dan mahukan konfrontasi dengan mengadakan pungutan suara kemerdekaan yang diharamkan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Kerajaan persekutuan Sepanyol menyatakan semalam bahawa ia akan memansuhkan kuasa autonomi Catalonia dan melaksanakan pemerintahan secara langsung selepas pemimpin wilayah berkenaan mengugut akan meneruskan pengisytiharan kemerdekaan sekiranya Madrid enggan berunding.

Dalam keputusan di luar jangkaan sejak sistem demokrasi pulih di Sepanyol pada penghujung 1970-an, Perdana Menteri Mariano Rajoy berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat khas Kabinet esok bagi meneruskan langkah tersebut.

Parti pembangkang Sepanyol, Parti Sosialis memberitahu, ia menyokong keputusan kerajaan tetapi mencadangkan supaya skop dan masa tindakan tersebut dihadkan, lapor REUTERS.

Presiden Catalonia, Carles Puigdemont gagal mematuhi tarikh akhir pukul 10 pagi semalam untuk menggugurkan kempen kemerdekaan wilayah berkenaan.

Beliau sebaliknya mengugut Rajoy dengan perisytiharan kemerdekaan rasmi di Parlimen Catalonia.

Kenyataan Rajoy dan Puigdemont meningkatkan ketidaktentuan berhubung kemelut politik itu yang berlanjutan lebih sebulan. Krisis Catalonia juga dikhuatiri mencetuskan kekacauan dan menjejaskan mata wang Euro.

“Sekiranya Madrid terus menghalang rundingan dan meneruskan tekanan, Parlimen Catalonia boleh memilih untuk meneruskan pengisytiharan kemerdekaan,” kata Puigdemont dalam suratnya kepada Rajoy.

Sekiranya Rajoy mengaktifkan Artikel 155 di bawah perlembagaan tahun 1978 yang membenarkan beliau mengambil alih Catalonia, perintah itu hanya boleh dikuatkuasakan seawal minggu depan kerana memerlukan kelulusan Parlimen Sepanyol.

Masa itu boleh digunakan Puigdemont untuk mengisytiharkan kemerdekaan Catalonia secara unilateral.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Catalonia tangguh pengistiharaan kemerdekaan

BARCELONA 12 OKT: Kerajaan Sepanyol dikatakan bersiap untuk mengadakan rundingan dalam krisis terburuk di negara ini selepas barisan pemimpin Catalonia menandatangani pengisytiharaan kemerdekaan di sini.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan pemimpin wilayah separa autonomi berkenaan, Carles Puigdemont bagaimanapun menangguhkan pengisytiharan kemerdekaan itu bagi memberi laluan untuk mengadakan rundingan dengan Madrid.

Berikutan itu, Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy mempengerusikan mesyuarat Kabinet tergempar sebagai respons terhadap pengumuman Puigdemont.

Puigdemont mendakwa menerima mandat daripada rakyat bagi menjadikan Catalonia sebagai sebuah republik merdeka selepas satu pungutan suara yang diadakan secara haram pada 1 Oktober lalu.

Pada masa sama, Rajou berjanji akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk mengelak kemerdekaan selain menolak untuk mengenakan peraturan secara langsung terhadap wilayah berkenaan.

Kebanyakan pihak bimbang mengenai langkah yang tidak pernah berlaku itu kerana boleh membawa kepada pergolakan politik.

Masa depan wilayah yang didiami kira-kira 7.5 juta penduduk iaitu salah sebuah kawasan yang menguasai ekonomi negara untuk berpisah daripada Sepanyol itu menimbulkan kebimbangan akan menjejaskan kestabilan di Kesatuan Eropah.

Sementara itu, beribu-ribu orang ramai yang berkumpul di luar bangunan Parlimen di sini kelmarin mengibarkan bendera Catalonia dan sepanduk sambil menjerit ‘demokrasi’.

Timbalan Perdana Menteri Sepanyol, Soraya Saenz de Santamaria berkata, Puigdemont merupakan seorang individu yang tidak tahu mengenai hala tuju dirinya sendiri.

“Beliau tidak tahu di mana dia berada, ke mana dia nak pergi dan bersama siapa,” katanya.

Sepanyol dan Catalonia memasuki fasa tidak ketahui ketika Madrid berulang kali berkata kemerdekaan bukan satu perkara untuk dibincangkan.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Sepanyol bakal berdepan lebih banyak demontrasi Catalonia

MADRID 8 OKT: Sepanyol dijangka berdepan lebih banyak protes walaupun Madrid berusaha meredakan krisis dengan membuat permohonan maaf terhadap penduduk Catalonia yang dicederakan polis baru-baru ini.

Presiden Catalonia, Carles Puigdemont mengumumkan rantau itu akan mengisytiharkan kemerdekaan secara unilateral, namun Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy berikrar menghalang, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Beliau juga menolak gesaan orang tengah dalam pertikaian yang mengundang kegelisahan termasuk daripada pemain bola sepak Barcelona dan Real Madrid.

Krisis politik Sepanyol itu menimbulkan kebimbangan kekacauan yang semakin meningkat di rantau timur laut, kawasan mesra pelancong dan menempatkan 7.5 juta penduduk.

Golongan antikemerdekaan menggesa demonstrasi di seluruh Sepanyol dan perhimpunan besar di Barcelona.

Orang awam yang menyokong dialog untuk menamatkan krisis itu juga semalam merancang untuk berkumpul di seluruh negara.

Inisiatif tanpa nama yang tersebar di media sosial itu mahu mempromosikan rundingan menggunakan slogan: ‘Sepanyol lebih baik berbanding para pemimpinnya’.

Kelmarin menyaksikan tanda-tanda awal Sepanyol bersedia untuk berundur daripada konflik politik yang berisiko menimbulkan ketidakstabilan di Eropah.

Selepas beberapa hari ketegangan, kerajaan pusat menyatakan rasa kesal kecederaan yang berlaku dan mencadangkan Catalonia mengadakan pilihan raya serantau untuk menyelesaikan krisis.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Bomba Catalonia benteng rakyat undi referendum dibelasah polis

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 2 OKT: Polis Sepanyol dilaporkan menyerang pasukan Bomba Catalonia apabila mereka membentuk benteng kepada rakyat yang mahu mengundi dalam referendum kemerdekaan wilayah itu.

Gambar dimuatnaik di media sosial menunjukkan pihak polis menendang dan menggunakan baton untuk memukul pasukan bomba yang beruniform, ketika mana keganasan semakin memuncak di Barcelona dan kawasan sekitar.

Pegawai polis turut menggunakan baton dan dalam satu kejadian di Barcelona – peluru getah digunakan untuk menyuraikan orang ramai dari stesen mengundi di wilayah itu.

Dilaporkan juga polis merampas kotak undi dan menghalang jalan ke pusat pengundian.

DLGQlRGVoAEfc1bMedia melaporkan lebih 800 orang dilaporkan cedera dalam insiden kekacauan di seluruh Catalonia ketika pihak polis bertempur dengan orang ramai yang berkumpul bagi menyokong pungutan suara yang diadakan.

Kementerian Kesihatan Catalonia melaporkan seramai 844 memerlukan rawatan kecemasan dengan dua antara mereka dalam keadaan serius.

Pungutan suara itu diadakan bagi membolehkan Catalonia mendapatkan kemerdekaan dari Sepanyol, namun ia dianggap tidak sah oleh Madrid.

“Saya selaku Datuk Bandar Barcelona mendesak pihak polis supaya menamatkan tindakan ganas terhadap rakyat yang tidak berdaya,” kata Ada Colau dalam satu kenyataan.

DLCqzOoX0AE8aOu

 

171001124119-05-catalonia-referendum-cnn-1001-exlarge-169

 

170930091215-03-catalonia-referendum-0930-exlarge-169

GAMBAR: SUMBER TWITTER

=EZY=

Categories
GLOBAL

Referendum Catalonia: Polis serbu pusat pengundian, lebih 330 cedera

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 1 OKT: Pengundian untuk referendum kemerdekaan Catalonia di Sepanyol menjadi huru-hara apabila polis menyerbu pusat pengundian serta bertempur dengan pengundi sehingga menyebabkan ratusan cedera.

Agensi Berita Antarabangsa CNN NEWS melaporkan kira-kira 337 orang cedera apabila pasukan polis yang dihantar Kerajaan Sepanyol bertindak menutup pusat pengundian.

Pihak Kerajaan Sepanyol mengambil tindakan demikian bagi menghalang referendum bagi menuntut kemerdekaan Catalonia daripada berlangsung.

Kerajaan Sepanyol dengan tegas menentang sebarang gerakan yang mahu menuntut dipisahkan wilayah timur laut dengan menghantar pasukan polis kebangsaan selepas polis tempatan gagal bergerak untuk menutup bilik undi, kata akhbar Sepanyol, El Pais.

CataloniaSeramai 5.3 juta pengundi pada senarai pemilih diminta untuk menjawab ya atau tidak kepada soalan: “Adakah anda mahu Catalonia menjadi negara merdeka, dalam bentuk Republik?”

Stesen pengundian ditutup pada jam 8 malam waktu tempatan pada hari Ahad. Hasil dijangka sekitar 10 malam waktu tempatan (4 pagi ET).

Catalonia, sebuah rantau kaya di timur laut Sepanyol, mempunyai kerajaan serantau sendiri – atau Generalitat – yang sudah mempunyai kuasa besar mengenai penjagaan kesihatan, pendidikan dan pengumpulan cukai.

Tetapi nasionalis Katalan mahu lebih banyak, dengan alasan bahawa mereka adalah negara yang terpisah dengan sejarah, budaya dan bahasa mereka sendiri dan mereka seharusnya merdeka.

=EZY=