Categories
GLOBAL

SIA beli 39 pesawat Boeing RM58.4 bilion luaskan operasi

GLOBAL 25 OKT: Singapore Airlines (SIA) memuktamadkan perjanjian pembelian 20 pesawat Boeing 777-9 dan 19 buah pesawat 787-10 bernilai AS13.8 bilion (RM58.43 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong berkata, perjanjian itu juga merangkumi enam pilihan bagi setiap jenis pesawat yang jika dilaksanakan akan menjadikan jumlahnya sebanyak 51 pesawat.

Katanya, tempahan kesemua pesawat berkenaan adalah bagi pertumbuhan dan modenisasi pesawat untuk tempoh sedekad yang akan datang.

“Pesawat baharu ini juga menawarkan peluang pertumbuhan yang membolehkan kami mengembangkan rangkaian dan menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan kepada para pe­langgan kami,” katanya dalam kenyataan di sini.

Perjanjian itu dimeterai oleh Choon Phong, Pengerusi SIA, Peter Seah; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Commercial Airplanes, Kevin McAllister dan Naib Presiden Kanan, Jualan, Asia Pasifik & India, Boeing Commercial Airplanes, Dinesh Keskar.

Majlis menandatangani perjanjian pembelian pesawat berkenaan disaksikan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di White House, Washington DC Amerika Syarikat.

Pesawat 777-9 akan digunakan bagi penerbangan jarak jauh dan dijangka mula dihantar pada tahun kewangan 2021/2022, manakala pesawat 787-10 yang akan beroperasi bagi laluan jarak sederhana dijangka dihantar pada tahun kewangan 2020/2021.

Choon Phong berkata, SIA dijangka menerima penghantaran tempahan yang dibuat pada tahun 2013 bagi 30 pesawat Bo­eing 787-10 pertama di dunia pada separuh pertama 2018.

SIA memiliki lebih 50 buah pesawat generasi semasa Boeing 777 dalam perkhidmatannya. Anak syarikat SIA, SilkAir, Scoot dan SIA Cargo turut menggunakan pesawat 737 MAX 8, 737-800, 787-8/9 dan 747-400 Freighter bagi perkhidmatan mereka.

=EZY=