Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura terima kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech

ANKARA, 22 DIS: Singapura telah menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Singapore Airlines (SIA).

Ia sekali gus menjadikan Singapura negara Asia pertama yang menerima vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.

“Penghantaran kumpulan pertama vaksin Covid-19 ini ke Singapura adalah tonggak penting dalam memerangi Covid-19, dan kami berasa gembira dapat memainkan peranan dalam hal ini.

“Ini juga menunjukkan kesediaan hub perkhidmatan udara SIA dan Singapura bagi tugas yang sangat penting untuk mengangkut dan mengedarkan vaksin Covid-19 ke peringkat antarabangsa,” kata Naib Presiden Kanan Kargo SIA, Chin Yau Seng pada Selasa.

Minggu lalu, Singapura meluluskan vaksin itu dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan ia bakal diberi percuma dan secara sukarela kepada semua warganegara serta penduduk jangka panjang.

Negara ini juga akan mengurangi sekatan berkaitan virus mulai 28 Disember.

Menurut Kementerian Kesihatan, perjumpaan sosial sehingga lapan orang akan dibenarkan, berbanding lima orang ketika ini.

Singapura melaporkan 10 kes baharu Covid-19, termasuk sembilan yang diimport, dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan keseluruhan kepada 58,403 manakala angka korban setakat ini seramai 29 orang.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

SIA hantar bekalan pertama ke Singapura vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech

SINGAPURA, 21 DIS: Singapore Airlines (SIA) menerbangkan penghantaran pertama bekalan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech ke Singapura pada lewat petang tadi menggunakan sebuah pesawat pengangkutnya dari jenis Boeing 747-400.

“Penghantaran kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 ke Singapura ini adalah satu pencapaian penting dalam usaha memerangi Covid-19, dan kami berbangga kerana dapat memainkan peranan yang penting dalam usaha ini.

“Ia turut membuktikan kesiapsiagaan SIA dan hab udara Singapura untuk melaksanakan tugasan penting yang membabitkan penghantaran serta pengagihan vaksin Covid-19 di peringkat antarabangsa,” menurut Naib Presiden Kanan Kargo SIA Chin Yau Seng dalam kenyataan hari ini.

Menurut SIA, ini juga merupakan penghantaran pertama vaksin keluaran Pfizer-BioNTech ke sebuah negara di Asia.

Vaksin itu dibawa oleh penerbangan SQ7979, yang merupakan perkhidmatan pengangkutan berjadual dari Brussels, Belgium ke Singapura.

Pesawat itu berlepas pada Sabtu dan tiba di Singapura hari ini pada 7.55 malam.

Sebelum ini, SIA berkata ia berjaya melakukan penghantaran percubaan pada 19 Dis lepas menggunakan laluan penerbangan pesawat pengangkut yang sama.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pesawat SIA baharu dibeli terpaksa berpatah balik

SINGAPURA 4 NOV: Sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) yang baharu dibeli dan melakukan penerbangan sulung dari Los Angeles ke Singapura tanpa henti terpaksa berpatah balik selepas menghadapi masalah bacaan meter minyak enjin.

Pesawat Airbus A350-900ULR bagi penerbangan SQ37 itu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles pada pukul 11.24 malam (2.24 petang waktu Singapura) dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Changi 18 jam kemudian.

Seorang jurucakap SIA memberitahu portal Channel NewsAsia, pesawat yang membawa 141 penumpang itu telah berlepas selama 40 minit namun berpatah balik ke Los Angeles selepas kru penerbangan mengesan masalah tersebut.

“Sekumpulan jurutera telah memeriksa pesawat itu dan memaklumkan ia boleh beroperasi semula,’’ katanya.

SUMBER: AGENSI

Categories
GLOBAL

SIA beli 39 pesawat Boeing RM58.4 bilion luaskan operasi

GLOBAL 25 OKT: Singapore Airlines (SIA) memuktamadkan perjanjian pembelian 20 pesawat Boeing 777-9 dan 19 buah pesawat 787-10 bernilai AS13.8 bilion (RM58.43 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong berkata, perjanjian itu juga merangkumi enam pilihan bagi setiap jenis pesawat yang jika dilaksanakan akan menjadikan jumlahnya sebanyak 51 pesawat.

Katanya, tempahan kesemua pesawat berkenaan adalah bagi pertumbuhan dan modenisasi pesawat untuk tempoh sedekad yang akan datang.

“Pesawat baharu ini juga menawarkan peluang pertumbuhan yang membolehkan kami mengembangkan rangkaian dan menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan kepada para pe­langgan kami,” katanya dalam kenyataan di sini.

Perjanjian itu dimeterai oleh Choon Phong, Pengerusi SIA, Peter Seah; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Commercial Airplanes, Kevin McAllister dan Naib Presiden Kanan, Jualan, Asia Pasifik & India, Boeing Commercial Airplanes, Dinesh Keskar.

Majlis menandatangani perjanjian pembelian pesawat berkenaan disaksikan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di White House, Washington DC Amerika Syarikat.

Pesawat 777-9 akan digunakan bagi penerbangan jarak jauh dan dijangka mula dihantar pada tahun kewangan 2021/2022, manakala pesawat 787-10 yang akan beroperasi bagi laluan jarak sederhana dijangka dihantar pada tahun kewangan 2020/2021.

Choon Phong berkata, SIA dijangka menerima penghantaran tempahan yang dibuat pada tahun 2013 bagi 30 pesawat Bo­eing 787-10 pertama di dunia pada separuh pertama 2018.

SIA memiliki lebih 50 buah pesawat generasi semasa Boeing 777 dalam perkhidmatannya. Anak syarikat SIA, SilkAir, Scoot dan SIA Cargo turut menggunakan pesawat 737 MAX 8, 737-800, 787-8/9 dan 747-400 Freighter bagi perkhidmatan mereka.

=EZY=

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pihak Pengurusan MAS Digesa Perjelas Polisi Pengambilan Pekerja Asing

PC Khalid Samad 03

SHAH ALAM,21 DIS : Pihak pengurusan baru syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines System Berhad (MAS) diseru memberikan penjelasan berkenaan polisi pengambilan pekerja asing yang dikhuatiri boleh menjejaskan kecekapan syarikat itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, usaha pemulihan prestasi MAS perlu dilaporkan kepada rakyat dan bukan sekadar hanya pihak kroni yang mendapat keuntungan.

“Difahamkan banyak kerja-kerja MAS yang disumberluarkan dan diagihkan-agihkan kepada pihak kroni.

“Dan banyak kerja-kerja MAS seperti penyelenggaraan kargo dijalankan oleh pekerja asing yang tidak mempunyai kemahiran dan latihan seperti pekerja MAS asal,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Dalam sidang media itu juga, Khalid mempertontonkan kepada pihak media sebuah video yang dikatakan dihantar ke pejabatnya oleh individu tidak dikenali berkenaan kecuaian pekerja asing dalam penyelenggaran kapal terbang milik MAS.

Dalam video durasi kira-kira dua minit yang bertarikh November lepas itu menunjukkan pekerja yang didakwa warga asing melakukan aksi melanggar bahagian enjin sebuah pesawat 737 di sebuah landasan kapal terbang yang tidak dinyatakan lokasinya.

Ujarnya, dahalu syarikat MAS mempunyai kedudukan dan setaraf dengan syarikat penerbangan asing seperti Singapore Airlines System (SIA) dan beberapa syarikat antarabangsa lain.

Namun akibat pemberian kerja-kerja penyelenggaraan dan pengurusan kepada pihak kroni menyebabkan prestasi MAS kini dipertikaikan.

“Selepas bermacam-macam campurtangan politik khususnya semasa zaman Tun Mahathir situasi semakin memburuk.

“Kita mahukan ketelusan dan akauntabiliti pihak MAS, kita tidak mahu perkara yang berlaku semasa Tajuddin Ramli berulang kembali,” ujarnya.

Sebelum ini, MAS mencatatkan kerugian bersih RM2.52 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011, yang terbesar dalam sejarah korporatnya dengan pendapatan RM13.9 bilion.