Categories
RENCANA

TAWAS: Insentif Istimewa Khas Anak-Anak Selangor

OLEH SABIRAH AZIZ

Kerajaan Negeri terus mengambil inisiatif membantu anak-anak kelahiran Selangor menerusi Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), yang juga antara program penting dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) Fasa 1.

Program tersebut diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan terbuka kepada anak-anak kelahiran Negeri Selangor yang memenuhi syarat di mana permohonan perlu dilakukan sebelum anak berusia 3 tahun.

Pada 17 Ogos 2015, menerusi Mesyuarat Kedua Penggal 3 dalam Sidang Dewan Negeri Bahagian Ketiga Belas, satu Enakmen Tabung Amanah Warisan Anak Selangor telah diluluskan bertujuan memastikan Ahli TAWAS menerima RM1, 500.00 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

Bermula dari 1 Mac 2014, Skim Khairat Kematian TAWAS bernilai RM 1,500 turut diperkenalkan dan akan diberikan kepada waris Ahli TAWAS sekiranya ahli meninggal dunia sebelum mencapai usia 18 tahun.

Sepanjang TAWAS diperkenalkan, terdapat pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan bagi meringankan beban anak-anak Selangor dan antaranya menerusi Program Back To School.

Bantuan persekolahan berupa beg sekolah itu merupakan tambahan khas bagi ahli TAWAS yang akan memasuki alam persekolahan.

 

TAWAS: ADN Selat Kelang Sampaikan Sumbangan Back To School

Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Kelang, Dr Halimah Ali pada 22 Oktober lalu menyampaikan sumbangan bantuan beg sekolah menerusi program Back To School kepada anak-anak Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan ibu bapa di kawasan berkenaan.

Sumbangan menerusi Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) itu telah diadakan di Pejabat Adun Selat Kelang, Taman Emas dengan 614 jumlah ahli berdaftar di kawasan itu.

Dr Halimah berkata sumbangan tersebut membuktikan bahawa kerajaan negeri amat mementingkan pendidikan dengan memberi galakan menerusi insentif khas untuk anak-anak yang memasuki sekolah.

“Ini merupakan simbolik kepada anak-anak Selangor dan saya harap insentif ini dapat dipelbagaikan di samping menjadi impak besar dalam pendidikan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada seorang penerima, Hafizah Mohd Alias berkata sumbangan tersebut telah meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan menyediakan bantuan persekolahan untuk anak-anak.

Bagi Noraini Mohamed pula, beliau bersyukur atas pemberian yang diberikan dan berharap bantuan dapat dipelbagaikan dalam bentuk lain.

“Keadaan ekonomi sekarang yang tidak stabil agak membebankan kami yang mempunyai ramai anak tapi dengan adanya bantuan ini saya amat bersyukur dan terharu..anak pun bersemangat nak masuk sekolah,” katanya kepada Selangor Kini.

 

TAWAS: Back To School Manfaat Tambahan Kepada Ahli

Program Back To School merupakan manfaat tambahan kepada ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) bagi membantu anak-anak Selangor yang akan memasuki alam persekolahan.

Menurut Esekutif Kanan Perhubungan Awam Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Atikah Akma Ramly, program tersebut akan dilaksanakan secara berterusan.

“Bantuan ini khas untuk anak-anak Selangor yang akan memasuki darjah satu dan menjadi program tahunan Tawas.

“Ibu bapa atau ahli Tawas boleh menuntut beg tersebut di Pusat Khidmat Masyarakat mengikut kawasan tempat tinggal yang didaftarkan sebelum ini,” katanya.

Tambah Akma, setakat ini, sebanyak 2,663 ahli Tawas telah datang menuntut beg di kawasan masing-masing.

“Selain bantuan beg, terdapat juga wakil Ahli Dewan Negeri (ADN) melakukan inisiatif sendiri dengan menambah keperluan bantuan sekolah kepada ahli Tawas di kawasan mereka.

Sehubungan itu, ibu bapa kepada ahli Tawas dinasihatkan mengemas kini maklumat anak seperti nombor telefon, alamat dan kawasan program pilihan sekiranya ada pertukaran sebelum 31 Disember supaya tidak terlepas sebarang program yang dilaksanakan.

Semakan dan kemaskini juga boleh dilakukan sendiri secara dalam talian di laman web Tawas iaitu di www.tawas.org.my.

=EZY=