Categories
EKONOMI

Siapa CEO baharu Malaysia Airlines?

KUALA LUMPUR 18 OKT: Spekulasi siapa yang akan menerajui Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines), sudah bermula susulan kenyataan pemergian Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew.

Dua nama disebut-sebut akan dipertimbangkan untuk menggantikan tempat Bellew, seandainya pemergian beliau disahkan nanti, lapor BH ONLINE.

Dua nama itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Malaysian Airlines, Omar Siddiq Amin Noer Rashid.

Ini bukan kali pertama Shahril, 44, yang memiliki pengalaman luas dalam industri pengangkutan, disebut-sebut sebagai calon untuk jawatan itu.

Nama beliau juga disebut sebagai pengganti berpotensi ketika Christoph Mueller mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines pada April tahun lalu.

Shahril sebelum ini adalah Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd dari 2010 hingga 2014 sebelum beralih ke MRT Corp Januari tahun lalu.

Beliau juga berpengalaman luas dalam industri penerbangan apabila memegang jawatan Pengurus Besar Penerbangan Malaysia Bhd (PMB) dari Januari 2002 hingga Mei 2006.

Shahril ketika ini adalah Lembaga Pengarah di Prasarana dan MyHSR (High Speed Rail) Corp, kedua-duanya milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) .

Calon kedua, Omar Siddiq pula adalah CFO semasa Malaysia Airlines yang menjawat jawatan itu sejak 2016.

Beliau sebelum itu adalah Pengarah Eksekutif di Bahagian Pelaburan Khazanah Nasional Bhd.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Malaysia Aviation Group Bhd.

Omar Siddiq menjawat Pengarah Urusan di bahagian perbankan pelaburan di CIMB Investment Bank Bhd, sehingga 2015.

Sebelum itu, beliau berkhidmat di PricewaterhouseCoopers sehingga 2005 dengan jawatan terakhir sebagai pengarah eksekutif.

Terdahulu, Ryanair hari ini mengeluarkan kenyataan kepada Bursa Saham London, yang menyebut Bellew akan kembali menyertai Ryanair sebagai ketua pegawai operasi berkuat kuasa 1 Disember.

=EZY=