Categories
PBT SELANGOR

Lebih 6,000 pokok lagi ditanam lestari Shah Alam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 OKT: Sebanyak 6,050 pokok ditanam di sekitar kawasan Dataran Kemerdekaan, hasil inisiatif bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Kumpulan Panasonic, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, Kumpulan Panasonic menyumbangkan RM30,000 kepada MBSA, dalam menjayakan Shah Alam Trees For Life.

“Antara pokok ditanam adalah pokok rajah kayu, pokok bunga kertas, pokok mengkudu siam, pokok Texas ranjer dan pokok kesinai merah,” katanya.

Ia melibatkan 600 peserta termasuk 360 warga kerja Kumpulan Panasonic di Lembah Klang, 240 sukarelawan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, Audit Selangor, Balai Polis Seksyen 11, Tenaga Nasional Berhad, Telekom serta warga kerja MBSA.

Shahrin berkata, MBSA sentiasa komited untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

“Antara usaha kita termasuk pelaksanaan program Inisiatif Hijau Shah Alam seperti Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Perintis Hijau, Kebun di Sekolah, Kebun Komuniti, penyediaan trek basikal Shah Alam,” katanya.

Program disempurnakan Datuk Bandar, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Timbalan Pengarah Urusan, Panasonic Management Malaysia Sdn Bhd, Mr Hiroyuki Imizu.

=EZY=