Categories
NASIONAL

Sikap angkuh Menteri Umno berpolitik dalam sekolah wajib dibantah

SHAH ALAM 4 OKT: Sikap melampau Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sehingga tergamak berpolitik di dalam sebuah sekolah melibatkan pelajar dan guru wajar dikecam.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ini adalah sikap bongkak dari Setiausaha Agung Umno kerana beliau tahu tiada siapa di dalam parti itu atau dalam kerajaan yang berani menegur atau mengambil tindakan terhadapnya.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila pelajar turut dikerah mengibarkan bendera Umno dan memakai pakaian mengikut tema Puteri dan Wanita Umno.

“Selepas enam dekad negara merdeka, adakah ini budaya politik sihat yang dibawa oleh sebuah parti pemerintah yang tidak segan silu menggunakan premis pendidikan untuk kepentingan politik sempit Umno?

“Malah dalam satu video yang tular, jelas Menteri Umno itu menyeru para guru supaya menyertai Umno. Tetapi saya memahami sikap terdesak ini berpunca daripada kebimbangan Umno yang semakin terhakis kepercayaan rakyat untuk menghadapi pilihan raya,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata sekolah perlu dihormati sebagai tempat untuk pelajar dan guru bersama-sama memenuhi keperluan pendidikan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).

“Malanglah jika perkara asas seperti ini gagal difahami baik menteri Umno ini. Kerajaan sepatutnya pulihkan sistem pendidikan negara yang semakin caca-merba sehingga menyusahkan pelajar dan guru, bukannya sibuk bawa agenda sempit politik ke dalam sekolah.

“Saya mendesak Umno memohon maaf di atas sikap berpolitik keterlaluan seperti dibuat Datuk Seri Tengku Adnan ini,” katanya.

Dr Mariah berkata ibu bapa dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga patut menyatakan bantahan terhadap sikap jumud Umno yang menjadikan sekolah tempat berkempen dan pentas ceramah politik.

=EZY=