Categories
PBT SELANGOR

Rebut tawaran istimewa sempena Ulang Tahun Shah Alam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 OKT: Orang ramai digesa tidak melepaskan peluang merebut pelbagai insentif menarik ditawarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-17.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, insenti diberikan dalam bentuk penggunaan fasiliti dan kemudahan MBSA secara percuma pada tarikh tertentu.

“Insentif ini merupakan tanda penghargaan dan terima kasih MBSA kepada
‘stakeholders’ khususnya warga kota Shah Alam.

“Mereka memainkan peranan penting dalam menjadikan bandar raya Shah Alam bandar raya sejahtera, aman dan harmoni,” katanya.

Insentif ditawarkan termasuk caj percuma di Pusat Akuatik Shah Alam pada 8 Oktober ini, di mana kebiasaannya kanak-kanak dicaj RM2.10 dan dewasa RM3.20.

Pada tarikh sama juga, kaki pancing boleh memancing secara percuma di Taman Tasik Seksyen 7, Taman Tasik Kota Kemuning dan Kolam Tadahan Bukit SUK serta tidak perlu membayar RM10 per joran seperti selalu.

Sementara itu, pada 10 Oktober, tiada caj parking dikenakan di Bangunan Wisma MBSA dan Tempat Letak Kereta Stesen Komuter Seksyen 19.

Untuk aktiviti sukan dan riadah, orang ramai boleh menggunakan gelanggang futsal di Extreme Park, Seksyen 13 secara percuma pada 10 Oktober ini.

Kebiasaannya, ia dikenakan caj RM63.60 bagi kegunaan siang dan RM100 bagi malam.

Tawaran percuma turut diberikan bagi kemudahan Padang C, Dataran Kemerdekaan, pada tarikh sama, kebiasaannya dicaj sehingga RM30 per jam.

Diskaun sehingga 50 peratus turut diberikan bagi kompaun MBSA dan kadar tetap RM30 untuk kompaun letak kereta, sepanjang Oktober ini.

=EZY=