Categories
NASIONAL

SPR digesa permudahkan urusan semakan daftar pemilih

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 16 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diseru menyediakan pangkalan data berkenaan maklumat pemilih yang lengkap serta mudah diakses bagi memastikan semakan daftar pemilih dapat dilakukan.

Penganalisis Projek Analisis Daftar Pemilih Malaysia (MERAP), Lee Wei Tak berkata, mustahil semakan daftar tambahan dapat dilakukan jika maklumat tidak dibekalkan kerana pengundi hanya diberikan dua minggu mengemukakan bantahan sekiranya wujud kecurigaan pengundi lain yang berdaftar pada satu alamat sama sedangkan ia tidak wujud.

Katanya, tindakan SPR pada September lalu menyukarkan parti politik dan individu mengenalpasti pengundi hantu.

“SPR menolak menyediakan senarai pemilih tambahan dalam format pangkalan data (soft copy) berkuatkuasa dari suku pertama (Q1) 2017 .

“Mereka juga mengurangkan maklumat yang diberikan di portal ‘Semak Isi Rumah’ SPR di laman webnya pengundispr.gov.my/isirumah2,” katanya pada sidang media di Pejabat Bersih 2.0 hari ini.

Menurutnya, penyaluran maklumat dalam bentuk format pangkalan data membolehkan parti politik menganalisis dan menilai sebarang tambahan, pembuangan dan penukaran pengundi di kawasan masing-masing.

Mengulas mengenai portal ‘Semak Isi Rumah’ Wei Tak berkata, berdasarkan kajian MERAP mendapati hanya maklumat ringkas seperti nama pengundi, nombor kad pengenalan dan kawasan mengundi sahaja dipaparkan tanpa alamat pada daftar pemilih.

Selain itu, semakan MERAP turut menemui keraguan pada satu alamat rumah apabila jumlah pengundi berdaftar yang ramai selain berbilang bangsa.

“Kami percaya ‘inisiatif’ terbaru SPR mengeluarkan maklumat alamat daripada portal selain permintaan semakan kehakiman sebelum ini telah mencabar integriti mereka,” katanya.

=EZY=