Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Tingkat prospek pelancongan Selangor di Jepun

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 OKT: Tourism Selangor dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menjalinkan kerjasama serantau di Jepun menerusi penganjuran Expo Pelancongan 2017, di Tokyo Big Sight, 21 hingga 24 September lalu.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, penganjurannya berpotensi untuk meningkatkan prospek pelancongan Selangor di negara itu.

“Industri pelancongan Selangor mempunyai banyak potensi untuk diterokai lebih jauh, terutamanya dengan rakan-rakan pelancong di Jepun.

“Dalam usaha kami untuk menjadi industri pelancongan yang aktif dan maju, kami di Tourism Selangor dan Kerajaan Selangor menyokong segala usaha oleh pemain industri tempatan membangunkan produk pelancongan menarik negeri.

Meeting with Hakuba Goryo Mayor“Antara inisiatif yang boleh dijalankan termasuklah produk pelancongan alam sekitar, pelancongan agro, homestay, warisan dan kebudayaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerjasama itu juga mampu menjadi platform terbaik bagi Kerajaan Selangor untuk menjalankan program pelancongan bersama untuk menarik jumlah kemasukan pelalncong lebih tinggi.

“Kempen Discover Selangor menjadi penanda aras kepada Tourism Selangor untuk mempromosikan produk-produk kepada orang ramai bagi meningkatkan jumlah pelancong dari dalam dan luar negara.

“‘Heart of Malaysia’ yang digunakan sebagai slogan untuk pelancongan negeri diyakini mampu menjadi penarik kepada promosi pelancongan.

“Kempen ini sekali gus juga menunjukkan bahawa Selangor sebagai hab pengangkutan, pembangunan, pelaburan, perniagaan, pendidikan, perubatan juga pelancongan semasa,” katanya.

=EZY=