Categories
RENCANA

Tolak sentimen kaum demi keamanan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

Kisah tentera Cina pertahan kedaulatan

Penzahiran rasa cinta terhadap keamanan negara yang terlahir daripada semangat juang individu tegar mempertahankan negara daripada ancaman musuh.

Tanpa mengambil kira perbezaan sentimen warna kulit, kaum, bangsa dan agama, semangat kecintaan terhadap negara kekal dipertahan utuh.

Ia dibuktikan, Leftenan Kolonel Wong Ah Jit (RTD) dalam usahanya untuk berbakti kepada negara menerusi khidmatnya sebagai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menceritakan detik pembabitannya sebagai tentera, anak kelahiran Pangkalan Minyak, Batu Tujuh, Melaka, berbangsa Cina itu ada tafsirannya.

“Minat terhadap ketenteraan bermula sejak kecil, ketika ayah saya berkhidmat sebagai pembantu pengurus di estet milik bapa saudara.

“Secara kebetulan, estet tempat ayah bekerja itu kawasan pusat latihan ketenteraan Inggeris sekitar tahun 1960 dan waktu itu saya baru berumur 14 tahun.

“Daripada situlah saya dapat melihat bagaimana tentera Inggerisberlatih dan mendorong rasa untuk membabitkan diri dalam dunia ketenteraan,” katanya kepada SelangorKini.

 

Perubahan hidup

Seawal usianya 18 tahun, penghijrahannya ke Sungai Udang, Melaka, menjadi detik terpenting dirinya sebelum terbabit dalam dunia ketenteraan.

Secara kebetulan, Sungai Udang juga antara pusat latihan ketenteraan komando yang cukup sinonim dalam kalangan warga tempatan waktu itu.

“Saya bertemu dengan seorang pegawai tinggi tentera yang menawarkan saya untuk menyertai tentera ketika itu.

“Atas dorongannya, akhirnya permohonan saya diterima dan daripada situlah kehidupan saya berubah,” katanya.

Beliau berkata, detik itu mengejutkan ibu dan ahli keluarga yang lain terutama keputusan untuk menyertai ketenteraan hadir ketika konfratasi perkauman 16 Mei baru sahaja berakhir.

“Saya bangsa Cina pertama yang dipilih untuk diserap sebagai tentera selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi titik kemuncak masalah perpaduan negara, waktu itu,” katanya.

Sejurus itu, beliau dihantar mengikuti latihan ketenteraan di Port Dickson, Negeri Sembilan, sebelum melalui proses lanjutan akhir bersama anggota pasukan lain.

Ceritanya lagi, walaupun terpaksa bersaing bersama masyarakat Melayu waktu itu, namun iltizam tinggi mendorong beliau untuk terus merealisasikan impiannya.

 

Komunis tembak kepala

Suatu sudut transisi yang lain, beliau mempunyai kisah dan pengalaman yang masih segar dalam ingatannya ketika berjuang habis-habisan melawan komunis.

“Saya ada seorang kawan berbangsa India yang sangat rapat dan akrab. Usianya waktu itu masih muda, namun beliau pergi lebih awal.

“Beliau ditembak di kepala pada jarak dekat ketika operasi penghapusan komunis dijalankan, di hutan.

“Kami cukup terkesan. Namun, pengalaman ini seharusnya mengajar masyarakat Malaysia untuk lebih menghargai keamanan yang kita kecapi kini,” katanya.

Baginya kini, saki baki perajurit yang masih ada wajar mendapat pengiktirafan sebaiknya atas jasa dan perjuangan mereka dulu.

“Namun, saya sedikit kesal apabila masih ada tanggapan segelintir masyarakat yang seolah-olah melupakan jasa dan pengorbanan golongan ini.

“Lebih mendukacitakan, ada yang sekadar mendapat wang bantuan sumbangan yang tidak setimpal walaupun mengalami kecacatan kekal,” katanya.

 

Harum nama negara

Selepas tamat perkhidmatan bersama ketenteraan, beliau tidak hanya berhabis masa, di rumah.

Kini, lelaki separuh abad itu terus menyumbang khidmat baktinya kepada negara.

Sebaliknya, khidmat bakti beliau diteruskan apabila dipilih menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan sukan squash negara.

Beliau diamanahkan untuk bertanggungjawab mengetengahkan bakat muda dalam sukan itu.

Hasilnya, pemain squash dunia, Nicol Ann David dan Azlan Iskandar dilatih sejak kecil sehingga mampu menjulang nama Malaysia, di mata dunia.

Katanya, pemilihan dibuat selepas mengambil kira pembabitannya dalam sukan ketika tempoh perkhidmatan bersama pasukan ketenteraan sebelum ini.

“Saya mendapat peluang untuk membantu pengurusan squash negara di bawah Institut Sukan Negara dan daripada situlah sehabis daya membantu mengembangkan bakat atlet muda yang mampu untuk diketengahkan.

“Dalam tempoh itu, kejayaan manis ketika mengetuai delegasi squash negara dalam Sukan Komanwel dan temasya sukan lain yang menjulang nama atlet muda di bawah seliaan saya, waktu itu.

“Ia benar-benar satu pengiktirafan terbaik buat diri saya untuk terus konsisten mengangkat martabat negara daripada aspek yang berbeza walaupun selepas tamat ketenteraan,” katanya.

Kini, susuk tubuh ini kekal optimis untuk terus membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Semangat juang tinggi insan ini wajar dicontohi masyarakat Malaysia untuk negera terus kekal aman dan sejahtera.

Baginya, kesejahteraan negara tidak hanya bersandar kepada tugas pimpinan tertinggi negara, tentera atau polis, sebaliknya ia perlu mendapat keterlibatan semua.

“Semoga negara ini kekal aman, bebas daripada korupsi dan mendapat kesejahteraan yang baik daripada semua aspek,” katanya.

Selamat Hari Pahlawan!