Categories
RENCANA

Wanita berdaya pemacu ekonomi negeri

Terunggul di Malaysia, hanya di Selangor

OLEH: AFEEQA AFEERA

“If you educate a man you educate an individual, but if you educate a woman you educate a family.” – Dr James Emmanuel Kwegyir-Aggrey

Kata-kata dari cendekiawan Ghana itu cukup untuk menggambarkan betapa besar peranan wanita dalam mencipta pembangunan juga kunci kekuatan kepada sosio-ekonomi negara.

Malah, semangat juang bertunjangkan pengorbanan wanita amat membantu dalam usaha menjadikan sesebuah negara itu gah di mata dunia dan masyarakat sejagat.

Wanita kini hampir setaraf dengan lelaki dalam semua aspek, termasuk pencapaian mengagumkan dalam pendidikan tinggi dengan memecahkan tembok yang sebelum ini didominasi kaum Adam.

Namun, segah mana pun prestasi dicapai, diskriminasi dan stereotaip gender terhadap wanita masih tebal sehingga hari ini, walaupun dunia semakin moden.

Wanita dan kerjaya

Tajuk: Pembabitan tenaga buruh wanita (Asia)

1. Kemboja (78.8%)
2. Laos (76.3%)
3. Myanmar (75.2%)
4. Thailand (75.2%)
5. Vietnam (73%)
6. MALAYSIA (54.1%)

*Kajian Tenaga Buruh 2015

 

Jika dilihat kepada statistik berkenaan, pembabitan wanita di negara ini masih ketinggalan jauh berbanding lelaki yang mencatat 80.6 peratus, sekali gus meninggalkan tanda tanya di manakah peranan mereka dalam masyarakat?

Kajian Bank Dunia mendapati wanita Malaysia berusia lebih 26 tahun lebih menjurus kepada pengurusan keluarga hingga menyebabkan kebanyakan daripada mereka memilih untuk meninggalkan pasaran kerja.

Salah satu penyumbang kepada faktor berkenaan termasuk waktu kerja kurang anjal di pejabat kerana terpaksa menguruskan hal rumah tangga dan menyaksikan tenaga kerja serta kemahiran dimiliki terbazir begitu sahaja.

Memetik ucapan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika Konvensyen Kepimpinan Wanita Selangor 2014, beliau berkata, kira-kira 93 peratus wanita mahu kembali bekerja tetapi 63 peratus daripadanya merasa sukar berbuat demikian atas kekangan tertentu.

“Negara melakukan pelaburan tinggi terhadap wanita melalui pendidikan rendah hingga peringkat tertinggi dan mengabaikan pelaburan ini satu tragedi kolektif.

“Kita perlu merumuskan dasar, reformasi dan anjakan baru dalam cara pekerjaan seperti memperkenalkan waktu anjal untuk wanita selain bekerja dari rumah bagi menangani cabaran ini supaya negara tidak kehilangan kemahiran dalam kalangan wanita,” katanya.

Bagaimanapun, mengikut Kajian Tenaga Buruh 2015, kadar tenaga buruh wanita di Selangor lebih tinggi iaitu 63.4 peratus, berbanding 54 peratus, di peringkat nasional.

Hal itu, sekali gus membuktikan ramai wanita di Selangor masih kekal berkhidmat dan secara langsung menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

 

Pembabitan politik dan pentadbiran

Umum mengetahui, wanita Malaysia kini terbabit aktif dalam kegiatan politik, namun peratusannya belum cukup besar untuk memberi impak kepada corak pentadbiran negara.

Menurut statistik dikeluarkan Inter-Parliamentary Union (IPU), Malaysia menduduki tangga ke-156 dari 189 negara dengan jumlah perwakilan wanita di Parlimen hanya 10.4 peratus.

Persidangan peringkat negeri juga menunjukkan corak hampir serupa dengan hanya 10.8 peratus dipegang wanita dari 505 jumlah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

Tajuk: Peratusan kerusi wanita di Parlimen

Kedudukan Negara Peratusan

1 Rwanda 63.8
7 Finland 42.5
13 Denmark 39.1
15 Belanda 38.7
45 Filipina 27.1
70 United Kingdom 22.5
97 Indonesia 18.6
102 AS 17.9
117 Thailand 15.8
121 Korea Selatan 15.6
156 Malaysia 10.6 (highligt)

*Sumber: Inter-Parliamentary Union (IPU)

 

Sejak sekian lama, jumlah menteri kabinet wanita tidak pernah melebihi tiga orang sehingga hari ini, malahan lebih buruk apabila beberapa Kerajaan Negeri yang bukan di bawah PAKATAN tidak pernah melantik Exco wanita dalam pentadbirannya.

Selangor memecah tradisi apabila melantik empat Exco wanita, pada 2008 dan mengubahnya kepada dua selepas ditadbir menteri besar baru.

Walaupun ada yang mempertikaikan penurunannya, namun Kerajaan Selangor mengiktiraf wanita ke peringkat lebih tinggi apabila muncul satu-satunya negeri melantik Speaker dalam kalangan wanita.

Satu lagi detik bersejarah dapat disaksikan apabila Selangor melantik dua wanita sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pertama di negara ini, pada 27 Jun 2016.

Pelantikan berkenaan turut mendapat perkenaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaras Subseksyen 58(1) dan Seksyen 59(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

 

Hanya di Selangor

Ubah, kembali tekad dan azam mewujudkan masyarakat saksama juga inklusif gender antara fokus Kerajaan Negeri supaya pembabitan wanita dalam isu kritikal dapat ditingkatkan.

Mohamed Azmin berkata, komitmen pentadbirannya memberdaya kedudukan sosioekonomi kaum hawa sentiasa dipergiat menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Selangor berhasrat mengiktiraf dan memartabatkan peranan wanita sebagai ‘stakeholders’ dalam proses pembangunan serta modenisasi negara.

“Maka, wanita turut menjawat peranan penting dan strategik dalam pentadbiran juga syarikat negeri.

“Kita yakin menerusi dasar peduli dan progresif serta penggunaan teknologi, maka wanita akan lebih produktif dalam mengemudi persekitaran mencabar,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Terbaru, usaha itu dipergiatkan menerusi penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) berperanan sebagai badan pemikir, khususnya merangka polisi dan strategi yang membawa kepada kemajuan golongan terbabit, di Selangor.

Matlamatnya mudah iaitu meningkatkan status sosioekonomi wanita dan mempercepatkan keupayaan mereka dalam aspek kepimpinan juga pembuat keputusan.

Buat julung kalinya juga, Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020 diwujudkan untuk merencana pembangunan holistik serta memastikan kesejahteraan wanita di negeri itu.

 

Smart State memberdaya wanita

Di peringkat awal percubaannya, Pusat Wanita Berdaya (PWB) ditubuhkan di 56 DUN bagi mengurus dan merancang aktiviti wanita setempat di peringkat akar umbi.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, keberkesanan inisiatif itu terbukti apabila 2,281 program berjaya dijalankan PWB dengan perbelanjaan RM3.4 juta, sehingga Jun lalu.

“Galakan terhadap pembangunan wanita diperluaskan menerusi IWB iaitu kesinambungan dan pelengkap bagi pemantapan keseluruhan sistem sokongan juga pembangunan wanita, di Selangor,” katanya.

Selepas itu, muncul Dasar Wanita Selangor yang dirangka pasukan penyelidik berkemahiran bagi memastikan Selangor sentiasa menjadi negeri mesra gender berdasarkan lima bidang utama iaitu:

Dasar itu menjunjung prinsip hak asasi manusia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mendukung hak wanita dan kesaksamaan gender.

Menerusinya, peranan wanita tidak akan dipinggirkan dan merapatkan jurang gender dalam pelbagai aspek yang selama ini kurang dititik beratkan di peringkat Persekutuan.

 

Kemudahan dan bantuan merentasi sempadan

Dasar itu mungkin terlalu baru untuk difahami semua, namun jangan dilupakan agenda peduli rakyat sedia ada yang terus konsisten membantu daripada aspek kebajikan.

Antaranya skim mikrokredit Hijrah Selangor (HIJRAH) yang kini didominasi kira-kira 60 peratus wanita untuk memulakan perniagaan dan menjana pendapatan tambahan bagi meningkatkan ekonomi diri juga keluarga.

Selain itu, Kerajaan Selangor turut menyediakan kemudahan wifi percuma dengan prasarana 2,500 hotspot sebagai satu aspek sistem sokongan yang boleh membantu wanita bekerja dari rumah.

“Jika usaha ini dapat dilakukan, ia boleh membantu pertumbuhan pendapatan isi rumah, sekali gus menangani masalah yang timbul.

“Kegagalan memberi perhatian kepada perkara ini akan menyebabkan pembaziran sumber daya dan potensi modal insan dalam kalangan wanita,” kata Mohamed Azmin.

 

Kesimpulan

Terlalu banyak untuk dihuraikan berkenaan dasar juga agenda mesra wanita yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan golongan itu tidak terkebelakang juga tercicir.

Inisiatif memberdaya wanita sentiasa menjadi fokus bagi mewujudkan pembangunan lestari kerana tanpa golongan itu, kemajuan dikecapi mungkin terasa lompong.

Pepatah ada mengatakan, tangan yang menghayun itu mampu menggoncang dunia. Begitu jugalah hebatnya peranan wanita dalam menggerakkan kemajuan sesebuah negeri mahupun negara.