Categories
SELANGOR

27 mangsa masih di pusat pemindahan

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU LANGAT, 16 NOV : Seramai 27 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Sungai Serai sejak semalam, lapor Sinar Harian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, Pusat pemindahan ini dibuka sejak kelmarin dan kesemua mangsa itu daripada enam keluarga.

“Statistik bilangan mangsa sehingga jam 6.12 petang (semalam) mencatatkan seramai lapan lelaki dan 11 wanita termasuk tujuh kanak-kanak serta seorang wanita warga emas dan satu bayi berada di pusat pemindahan itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima maklumat, tiada lagi mangsa banjir di sebuah lagi pusat pemindahan di Kompleks Penghulu Batu 10, Cheras.

“Kesemua mangsa sudah kembali ke kediaman masing-masing…bagaimanapun, kita akan pantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut mengadakan lawatan ke kawasan banjir di Batu 12, Sungai Serai, Hulu Langat, Selasa lalu.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dan kontraktor bertindak segera menangani masalah banjir di sana.