Categories
SELANGOR

3 lelaki dikhuatiri terjatuh dalam tangki minyak terbakar

RAWANG 4 NOV: Tiga lelaki dikhuatiri terjatuh ke dalam tangki minyak diesel yang meletup dan terbakar di sebuah kilang simen di Jalan Kuang Garing, Rawang semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 4 petang itu, tiga lelaki tempatan berusia 28 hingga 49 tahun yang belum dikenal pasti identiti mereka, hilang semasa kebakaran tangki simpanan minyak diesel setinggi 4.26 meter itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 4.24 petang.

Beliau berkata kebakaran tangki minyak itu dapat dipadamkan kira-kira sejam kemudian namun, tiga mangsa berkenaan masih belum dijumpai.

Mohd Sani berkata lima jentera bersama-sama 30 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang, Rawang serta Selayang diarahkan ke lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga warga tempatan itu dijangka selesai hari ini.

Mohd Sani Harul ia susulan pasukan penyelamat terpaksa mengeluarkan lebih 725,000 liter minyak diesel dari tangki setinggi 4.26 meter itu bagi mengesan mangsa.

“Tujuh lori tangki digunakan dalam kerja-kerja mengeluarkan minyak berkenaan… ia akan mengambil masa yang agak lama untuk mengesan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian ketiga-tiga mangsa sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas tangki sebelum berlaku letupan yang mengakibatkan mereka terjatuh.

Sementara itu, Lafarge dalam satu kenyataan semalam berkata kebakaran tercetus di Loji Rawang syarikat itu antara jam 4.15 hingga 4.20 petang dan dipadamkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat sejurus tiba di tempat kejadian.

Syarikat itu berkata mereka menjalankan siasatan menyeluruh mengenai punca kejadian itu.

“Tiga orang masih hilang, anggota bomba dan pasukan loji bekerja sepanjang malam untuk mencari mangsa. Keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan kami akan memaklumkan perkembangan terkini kepada mereka dan menghulurkan sokongan yang diperlukan.

“Doa dan ingatan kami sentiasa bersama-sama mereka,” kata syarikat simen itu dalam kenyataan.

SUMBER: BERNAMA