Categories
GLOBAL

Dron Amerika serang Daesh di Somalia

WASHINGTON 4 NOV: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan dron terhadap militan Daesh di Somalia kali pertama, semalam.

Serangan dilancarkan di timur laut Somalia dan mengorbankan beberapa pengganas, kata pemerintah tentera AS di Afrika dalam satu kenyataan.

Voice of America (VOA) yang memetik kenyataan pengerusi bandar Qandala di wilayah separuh autonomi Puntland berkata, enam peluru berpandu dilancarkan ke arah pangkalan Daesh di kampung Buqa, 60 kilometer dari situ.

“Penduduk tempatan terkejut dan melarikan diri dari kawasan itu,” kata Jama Mohamed Qurshe kepada VOA.

Jurucakap AFRICOM, Leftenan Komander Anthony Falvo, berkata tiada penduduk awam di situ ketika serangan.

“Mereka menyerang sasaran yang sudah ditetapkan,” katanya sambil menambah ia adalah serangan udara pertama ke atas Daesh di Somalia.

Serangan pertama dilancarkan pada tengah malam waktu Somalia dan yang kedua kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan.

SUMBER: AFP