Categories
SELANGOR

ADN Permatang cuba kelirukan DNS?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Dato’ Sulaiman Abdul Razak didakwa cuba mengelirukan Dewan Negeri Selangor (DNS) susulan dakwaannya berkait isu pemberian tanah secara haram melibatkan pimpinan negeri.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata demikian merujuk tindakan ADN Barisan Nasional itu yang mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis tanpa memberikan bukti jelas.

“‘Saya minta Yang Berhormat Permatang jangan kelirukan Dewan. Adakah jawapan berkenaan ditandatangan oleh saya?

“Anda rujuk nama saya, sepatutnya Permatang perlu nyatakan jawapan itu (diperoleh) daripada Kerajaan. Bukan memetik nama Kota Alam Shah.

“Jaga adab, Permatang rujuk Kerajaan dan kita akan buat semakan,” katanya ketika mencelah sesi perbahasan Sulaiman Abdul Razak di DNS, petang ini.

Sebelumnya, Sulaiman mendakwa kononnya Exco Kerajaan Negeri memberikan kenyataan salah membabitkan isu pemberian tanah negeri di kawasan Dewan Undangan Negeri Permatang.

Susulan itu kata Sulaiman, beliau akan mengemukakan perkara berkenaan untuk dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

SelangorKini masih mendapatkan respon lanjut Exco Kerajaan Negeri, V Ganabatirau bagi mengulas isu berkenaan.

Terdahulu, Kerajaan Negeri konsisten mempertahankan amalan integriti dengan tidak membenarkan berlakunya sebarang salah guna kuasa membabitkan isu pemberian tanah di negeri ini.