Categories
SELANGOR

Urus Projek Perumahan Rakyat demi kepentingan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri menjalankan tanggungjawab mengurus dan menyelenggarakan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor berikutan tiada Prosedur Operasi Standard (SOP) jelas berhubung perkara itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri mengambil tanggungjawab penuh terhadapnya demi kepentingan rakyat di negeri itu.

“Tiada SOP jelas dalam menetapkan bidang kuasa Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri telah menerima tanggungjawab pengurusan penyelenggaraan PPR demi menjaga kepentingan rakyat walaupun tapak pembangunan PPR Lembah Subang 1 dan PPR Taman Tasik Teratai adalah kepunyaan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

“Ianya diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk urusan penyewaan dan penyelenggaraan melalui kutipan sewa namun ianya dalam lingkungan 45 peratus sahaja dan ini menyebabkan kita perlu membelanjakan peruntukan tambahan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membelanjakan lebih RM60 juta untuk PPR Lembah Subang 1.

Manakala anak syarikat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), syarikat Perumahan dan Hartanah Sdn Bhd (PHSSB) yang mengambilalih PPR Taman Tasik Teratai, berjaya memungut kutipan lebih kurang 98 peratus.

Dengan kutipan itu, katanya, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) masih perlu mengeluarkan peruntukan tambahan dengan anggaran melebihi RM130,000 setahun untuk pembaikan, pembersihan, keselamatan dan yang lain.

“Sewajarnya Kerajaan Persekutuan membiayai kos pembaikan kerosakan di kedua PPR itu memandangkan mereka adalah pemiliknya manakala Kerajaan Negeri bertanggungjawab dalam menguruskan kos penyelenggaraan yang lain,” katanya.

Selain PPR Taman Tasik Teratai, Iskandar berkata, PHSSB juga menguruskan PPR Kampung Baru Hicom dan PPR Kota Damansara di mana syarikat itu bertanggungjawab menguruskan kemasukan penyewa dan kutipan sewa serta melaksanakan kerja penyelenggaraan bangunan di semua PPR itu.

=EZY=