Categories
SELANGOR

Bangunan kediaman atas tanah kerajaan & pertanian era BN punca masalah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Pembinaan bangunan kediaman di atas tanah kerajaan atau tanah pertanian ketika Kerajaan Negeri ditadbir Barisan Nasional (BN) menimbulkan situasi sukar kepada rakyat di Selangor ketika ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, berikutan tindakan itu, ramai di kalangan pembeli rumah di negeri menghadapi kesukaran bagi mendapatkan hak milik strata.

“Sepatutnya pemaju menbayar premium tanah kepada Kerajaan Negeri dan mendapat hakmilik yang sahaja sebelum dibenarkan membina bangunan kediaman tetapi terdapat pemaju membangunkannya tanpa perlu membayar.

“Selain itu terdapat pemaju dibenarkan membina bangunan kediaman di atas tanah pertanian, sepatutnya status tanah ditukar terlebih dahulu sebelum pemaju memulakan projek mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini hanya 8,851 skim pembangunan membabitkan 525,025 hakmilik telah memperoleh hakmilik strata manakala 2,307 skim pembangunan sebaliknya.

Selain isu tanah, katanya, antara punca itu ialah bangunan yang tiada Sijil Layak Menduduki (CF) atau Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC) dan bangunan dibina terlebih dari sempadan lot.

“Ia juga berpunca dari pemilik atau pemaju mempunyai masalah kewangan, telah digulung dan masih di dalam tindakan insolvensi.

“Pejabat Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) kerap mengadakan “turun padang” untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pembeli rumah betapa penting hakmilik strata.

“Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor turut memberi perhatian terhadap isu ini dengan mengadakan mesyuarat bersama PTGS dari semasa ke semasa untuk memantau kemajuannya,” katanya.

=EZY=