Categories
GLOBAL

Amerika larang tenteranya minum arak di Jepun

GLOBAL 20 NOV: Larangan mengambil minuman beralkohol serta merta dikeluarkan terhadap Tentera Amerika Syarikat (AS) di Jepun selepas kes kemalangan akibat memandu dalam keadaan mabuk di pulau Okinawa, lokasi sentimen anti pangkalan tentera AS kekal tinggi.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan seorang anggota marin AS memandu kenderaannya merempuh trak mini di persimpangan semalam, menyebabkan pemandu trak berusia 61 tahun, maut.

Suspek berusia 21 tahun ditangkap dan didakwa memandu dalam keadaan cuai yang menyebabkan kematian.

Ujian pernafasan menunjukkan tahap alkohol tiga kali lebih tinggi daripada yang dibenarkan.

Semua anggota tentera AS yang berpangkalan di Jepun kini diharamkan daripada meminum minuman keras, dalam dan luar pangkalan, kata Tentera AS di Jepun dalam kenyataan.

Di Okinawa, pergerakan anggota tentera cuma terhad di pangkalan atau rumah masing-masing.

“Apabila anggota tentera kita gagal mencapai piawaian tinggi yang kita tetapkan untuk mereka, ia menjejaskan hubungan antara pangkalan dan penduduk tempatan dan menjadikan sukar untuk kita menamatkan misi,” kata kenyataan itu.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga, berkata Tokyo membuat aduan segera mengenai kes itu kepada AS, menuntut ia melaksanakan disiplin tegas dan mengambil langkah pencegahan.

“Amat dikesalkan kerana kemalangan ini berlaku walaupun kerajaan Jepun berulang kali meminta mereka melaksanakan langkah pencegahan dan menguatkuasakan disiplin,” kata Suga.

=EZY=