Categories
NASIONAL

Pinda segera Akta Perikanan 1985 lindung nelayan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Kerajaan Persekutuan perlu segera meminda Akta Perikanan 1985 seperti gesaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengelakkan pencerobohan hasil laut negara terus berleluasa.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, nasib nelayan tempatan perlu dibela memandangkan isu itu sudah dibangkitkan sejak sekian lama dan bukan terus bermain sandiwara bermusim.

“Mengapa selepas 30 tahun tiada tindakan mengubah dan membela nasib nelayan?

“Siapa yang begitu berpengaruh dan berkuasa untuk dilindungi? Apa komitmen Kerajaan Persekutuan mengubahnya dan membawa nelayan keluar dari golongan termiskin di bawah pendapatan RM400 sebulan?” soalnya dalam sidang media, di Pusat Media Parlimen.

Raja Kamarul Bahrin berkata, penyelarasan kerjasama antara pasukan penguat kuasa terdiri daripada Polis Marin, Jabatan Laut, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu dilakukan bagi memantau perkara itu.

Selain itu, katanya, hukuman tidak setimpal yang didakwa tidak menggerunkan nelayan asing juga perlu dipertingkat segera.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Bakri dalam kenyataannya mencadangkan Seksyen 19 Akta Perikanan 1985 berkaitan kelulusan permit kepada nelayan dikaji semula kerana ia dilihat sebagai punca sumber maritim negara mudah dirompak nelayan asing.