Categories
PBT SELANGOR

Ampang bandar pertama di Selangor laksana Projek Asean City Getting to Zero HIV

OLEH SABIRAH AZIZ

AMPANG, 26 NOV: Ampang menjadi bandar pertama di Selangor yang terpilih untuk melaksanakan Projek Asean City Getting to Zero HIV.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain berkata, MPAJ dipilih Jabatan Kesihatan Selangor untuk bersama-sama bandar lain seperti Melaka, Kuching, Kuantan dan Kota Kinabalu.

“Selain bandar tersebut, Projek Segitiga Negeri Sembilan iaitu Seremban, Nilai dan Port Dickson juga terlibat.

“Pada hujung tahun lalu, satu lawatan ke Meleka bagi melihat pelaksanaan projek ini disertai MPAJ, Jabatan Kesihatan Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat telah memberikan kesedaran tentang pentingnya meningkatkan usaha ke arah pencegahan dan kawalan penyakit HIV,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Ampang Sifar AIDS 2025 dan sambutan Hari AIDS Sedunia 2017, di Padang MPAJ hari ini.

Abd Hamid berkata, beberapa siri bengkel daripada pelbagai agensi dilaksanakan sebelum ini bagi membentuk pelan tindakan projek tersebut supaya dapat menjalankan projek dengan lebih terancang dan sistematik.

“Terdapat empat jawatankuasa kerja terdiri daripada jawatankuasa advokasi dan promosi, pengurusan rawatan dan pengurangan kemudaratan, kebajikan, rehabilisasi dan khidmat sosial serta kerja perundangan dan penguatkuasaan,” katanya.

Pada majlis itu, pelbagai aktiviti dijalankan seperti AIDS Fun Walk, bual bicara AIDS melibatkan panel berpengalaman, pertandingan mewarna, permainan interaktif, pameran dan saringan kesihatan termasuk HIV iaitu sebahagian daripada aktiviti advokasi dan promosi projek itu.

=EZY=