Categories
GLOBAL NASIONAL

MAPIM sasar 100,000 masjid & surau pertahan Masjid Al-Aqsa

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 NOV: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) buat julung kalinya menubuhkan sekretariat Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Masjid Al-Aqsa (AMSA)

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mensasarkan penyertaan 100,000 masjid dan surau dari seluruh dunia untuk bersama mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

“Gabungan masjid dan surau bertujuan menyatukan seluruh tempat suci itu di dunia bagi melindungi masjid ketiga suci umat Islam ini.

“Semua umat Islam sama ada Palestin atau orang Arab harus tahu tanggungjawab mempertahankan Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran AMSI, di pejabat MAPIM Seksyen 13, di sini, hari ini.

Mohd Azmi berkata, di negara ini sahaja, terdapat lebih kurang 6,400 masjid dan 40,000 surau.

“Setakat ini, lebih 100 masjid dan surau bersetuju menyertai gabungan AMSA ini.

“Buat permulaan, kita tubuhkan AMSA di Malaysia dahulu malah kita juga sudah mendapat reaksi positif dari masjid di Indonesia dan Thailand yang berminat menyertai AMSA,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun hadapan pihaknya akan mula jelajah di beberapa negara Asean untuk meramaikan lagi sekretariat AMSA.

=EZY=