Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Anak jati Selangor buka agensi pelancongan di New Zealand

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 1 NOV: Seorang anak jati Selangor yang berpindah ke New Zealand membuka agensi pelancongan bagi memudahkan pelancong terutamanya rakyat Malaysia mengembara ke kawasan menarik di negara itu.

Mohd Shazly Khan, 40, yang dilahirkan dan dibesarkan di Hulu Klang mengambil keputusan untuk berhijrah dan mengembara ke seluruh New Zealand supaya dapat berkongsi dengan semua orang tentang keistimewaan negara itu.

“Sebelum ini, saya pernah membuka akademi pengajian agama Islam (iMuslim Academy) secara percuma di Shah Alam namun merancang pula untuk membuka agensi pelancongan di sini.

“Saya juga bekerja sebagai pendakwah untuk mengajar orang Maori (Orang Asli New Zealand) tentang Islam di samping berdakwah sepenuh masa.

“Selain itu, saya telah pergi mengembara ke serata New Zealand dengan pelbagai aktiviti dilakukan seperti mendaki gunung, meredah hutan, berenang di tasik sejuk dan skydiving,” katanya kepada SelangorKini.

Shazly berkata, beliau menubuhkan agensi pelancongan iaitu Jalan-Jalan NZ (JJNZ) Travel & Tours sejak empat bulan lalu  bagi membantu melaksanakan pelaksanaan aktiviti dakwah di New Zealand.

Konsep dan pakej percutian yang diperkenalkan di JJNZ boleh dilayari di laman web www.jalanjalanNZ.com yang menawarkan pakej dengan harga murah dan berpatutan.

Selain agensi pelancongan, beliau juga merupakan pengasas akademi pengajian agama Islam iaitu iMuslim Academy dan Sakupenuh.com.

 

=EZY=