Categories
AGAMA

Bawa pulang barakah, elak musibah

Sekurang-kurangnya 30,200 jemaah haji dari Malaysia bersama-sama jutaan umat Islam telah menunaikan ibadah haji di tanah suci pada tahun ini.

Ribuan lagi rakyat Malaysia akan menyusul menjelang hujung tahun ini bagi menunaikan ibadah umrah di tanah yang diberkati itu.

Perhimpunan besar umat Islam yang datang daripada negara-negara di seluruh dunia ketanah suci meningkatkan risiko penyebaran pelbagai jangkitan termasuk yang boleh mengakibatkan maut atau kecacatan kekal.

Ini menyebabkan kerajaan Arab Saudi menetapkan polisi dimana sesetengah vaksin diwajibkan sebagai langkah pencegahan.

Bagi jemaah yang bakal ke Tanah Suci, pengambilan vaksin meningokokus kuadrivalen merupakan syarat wajib untuk memperolehi kelulusan visa.

Mungkin ada yang bertanya mengapa pengambilan vaksin yang membantu melindungi dari penyakit meningokokus ini amat dititikberatkan untuk jemaah yang akan ke tanah suci Mekah?

Wabak Penyakit Meningokokus Seluruh Dunia Selepas Musim Haji

Dato’ Dr Abdul Razak Abdul Muttalif, mantan ketua pasukan perubatan bagi jemaah haji berkata, vaksin meningokokus kuadrivalen diwajibkan pada 2001 untuk membantu mengelakkan wabak penyakit meningokokus yang berlaku pada 2 tahun berturut-turut sebelumnya daripada berulang.

Wabak tersebut yang berlaku selepas musim haji, membabitkan negara di seluruh dunia dan banyak membabitkan jemaah haji yang pulang ke negara masing-masing serta orang yang rapat dengan mereka.

Menurut beliau lagi, kadar kematian bagi pesakit yang menghidap penyakit meningokokus adalah tinggi. Penyakit yang disebabkan oleh bakteria Neisseria meningitidis (meningokokus) ini amat merbahaya kerana ia menyebabkan komplikasi yang amat serius seperti radang selaput otak dan saraf tunjang (Meningitis) selain jangkitan kuman dalam darah (septisemia).

Kadar kematian bagi kedua-dua komplikasi masing-masing adalah mencecah sehingga 10% dan 40%.

Membawa Ancaman Kepada Diri Dan Orang Lain

Menurut Dato’ Razak lagi, selain jemaah haji, jemaah umrah juga berisiko tinggi mendapat jangkitan meningokokus kerana ia mudah merebak apabila terdapat terlalu ramai orang yang menetap atau berkumpul di satu-satu kawasan.

Bakteria tersebut merebak melalui cecair rsaluran pernafasan apabila bersin, batuk, berkongsi garpu & sudu, ciuman dan sebagainya.

Sebahagian individu yang terdedah kepada bakteria ini akan mendapat penyakit, manakala sebahagian lain
akan menjadi pembawa bakteria tersebut.

Menurut Dr Mohd Suhaimi Ab Wahab, pensyarah perubatan dan penyelidik kesihatan jemaah haji pula, kajian yang dilakukan sebelum vaksin meningokokus kuadrivalen diwajibkan, telah mendapati bahawa peratusan pembawa kuman
meningokokus meningkat daripada 2.6% kepada 53% di kalangan jemaah selepas menunaikan haji.

Ini bermakna jemaah haji atau umrah yang menjadi pembawa bakteria meningokokus bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah boleh membawa ancaman kepada orang di sekeliling terutama golongan berisiko tinggi seperti mereka yang mengidap penyakit kronik dan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun apabila mereka pulang ke negara masing-masing.

Vaksinasi Lindungi Diri Dan Masyarakat

Menurut beliau lagi,adalah amat penting bagi jemaah haji dan umrah untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi melindungi diri mereka dan orang- orang disekeliling mereka.

Vaksinasi adalah salah satu cara terbaik untuk membantu mencegah penyakit meningokokus. Mengikut garis panduan daripada kerajaan Arab Saudi, jemaah haji dan umrah perlu menghantar sijil pengesahan pengambilan vaksinasi meningokokus kuadrivalen.

Sijil vaksinasi meningokokus kuadrivalen ini hanya sah dalam tempoh 3 tahun selepas pengambilan vaksin berkenaan.

Vaksinasi juga perlu diambil sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tarikh ketibaan di tanah suci.

Terdapat dua jenis vaksin meningokokus di Malaysia:

1. Vaksin Konjugat Kuadrivalen (ACWY)
• Memberi perlindungan untuk diri dan keluarga.

2. Vaksin Polisakarida Kuadrivalen (ACWY)
• Memberi perlindungan untuk diri, tetapi individu masih boleh menjadi pembawa kuman meningokokus dan menyebarkan kuman ini.

Pada tahun 2014, satu konsensus pakar-pakar di Timur Tengah membuat kesimpulan bahawa Vaksin Konjugat Kuadrivalen adalah efektif dalam mencegah penyebaran penyakit meningokokus.

*Artikel sumbangan Immunise4Life dengan kerjasama Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) yang disokong oleh GSK.