Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Balai Seni Sasaran, tarikan terbaru Kuala Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 21 NOV: Balai Seni Sasaran diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi Kuala Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, galeri berkenaan bukan sahaja dilengkapi karya seni artis tempatan malah turut disempurnakan dengan karya artis antarabangsa.

Katanya, ia termasuk artis luar negara dari Jepun, Mesir, Mongolia, India dan Filipina.

“Uniknya, ia adalah galeri pertama di Selangor yang diuruskan oleh persatuan dan komuniti setempat.

“Galeri ini semestinya menambah lagi tarikan di Kuala Selangor yang sebelum ini terkenal dengan kelip-kelip dan pulau cermin,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian Balai Seni Sasaran Kuala Selangor, di Jalan Sasaran, di sini, hari ini.

Pada Disember 2016, beliau turut menyempurnakan majlis pecah tanah balai berkenaan yang turut dihadiri Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor, pada masa itu, Noraini Roslan.

Siap sepenuhnya pada Oktober lalu, balai dua tingkat itu meliputi tingkat atas yang berfungsi sebagai ruang pameran sementara ruang lapang di tingkat bawah boleh digunakan bagi penganjuran pelbagai aktiviti.

=EZY=