Categories
PELANCONGAN SELANGOR

RM380,000 bangun Balai Seni Sasaran

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 21 NOV: Sejumlah RM380,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membangunkan pusat kesenian dan kebudayaan, Balai Seni Sasaran.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, jumlah itu tidak termasuk peruntukan tambahan lebih RM100,000 disumbang Persatuan Kesenian Sasaran Kuala Selangor dan komuniti setempat.

Katanya, ia merupakan contoh penting buat kampung lain di Selangor untuk bergerak progresif dalam mencapai impian tanpa mengharap sepenuhnya peruntukan kerajaan.

“Sejak 2008 lagi, persatuan berkenaan sudah memulakan usaha dan akhirnya mereka berjaya mencapai impian mereka memiliki balai seni dan menjadi mercu tanda penting di Kampung Sasaran.

“Ia menunjukkan kerjasama baik di antara masyarakat, persatuan dan Kerajaan Negeri serta agensinya mampu membawa manfaat besar buat semua.

“Diharap, kita dapat bekerjasama lagi untuk melengkapkan balai seni ini dengan lanskap yang cantik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Seni Sasaran, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Yang DiPertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohamad Yusli Askandar dan YDP Majlis Daerah Hulu Selangor, Noraini Roslan dan Pengerusi Persatuan Kesenian Sasaran, Ng Bee.

Pada 2008, Ng Bee yang juga artis kelahiran Sasaran mula mengumpulkan artis antarabangsa bagi mempamerkan karya mereka menerusi Pesta Kesenian dan Kebudayaan Sasaran di perkampungan nelayan, Kampung Sasaran.

Kejayaan itu mendorong Kerajaan Negeri, MDKS, Jabatan Pengairan dan Saliran serta masyarakat setempat mengusahakan pembinaan balai seni untuk menyemarak lagi aktiviti seni budaya di Selangor.

Sementara itu, Ng Bee berkata, pihaknya sangat menghargai komitmen dan sokongan Kerajaan Negeri terhadap impian mereka.

“Benih-benih sudah berkembang, diharap dengan sokongan sebegini, aktiviti seni terus menyubur di Sasaran dan di Selangor.

“Kami berharap Balai Seni Sasaran menjadi tarikan terkenal seluruh dunia dan disertai lebih ramai artis ternama dari dalam dan luar negara,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Balai Seni Sasaran, tarikan terbaru Kuala Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 21 NOV: Balai Seni Sasaran diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi Kuala Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, galeri berkenaan bukan sahaja dilengkapi karya seni artis tempatan malah turut disempurnakan dengan karya artis antarabangsa.

Katanya, ia termasuk artis luar negara dari Jepun, Mesir, Mongolia, India dan Filipina.

“Uniknya, ia adalah galeri pertama di Selangor yang diuruskan oleh persatuan dan komuniti setempat.

“Galeri ini semestinya menambah lagi tarikan di Kuala Selangor yang sebelum ini terkenal dengan kelip-kelip dan pulau cermin,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian Balai Seni Sasaran Kuala Selangor, di Jalan Sasaran, di sini, hari ini.

Pada Disember 2016, beliau turut menyempurnakan majlis pecah tanah balai berkenaan yang turut dihadiri Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor, pada masa itu, Noraini Roslan.

Siap sepenuhnya pada Oktober lalu, balai dua tingkat itu meliputi tingkat atas yang berfungsi sebagai ruang pameran sementara ruang lapang di tingkat bawah boleh digunakan bagi penganjuran pelbagai aktiviti.

=EZY=