Categories
SELANGOR

Balairaya Desa Jaya mesra hijau, siap Januari depan

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 17 NOV : Kerja menaiktaraf Balairaya Desa Jaya milik Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkonsepkan mesra hijau dijadual siap sepenuhnya Januari depan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, setakat ini projek naik taraf bernilai hampir RM200,000 itu sudah siap sekitar 60 peratus.

“Balairaya ini berkonsepkan mesra hijau kerana terdapat sistem penuaian air hujan dan sistem solar.

“Kita nampak kerja naik taraf ini perlu dijalankan bagi memudahkan komuniti Taman Desa Jaya melakukan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi lawatan ke projek menaiktaraf Balairaya Desa Jaya, di sini, hari ini.

Mengambil masa empat bulan untuk dinaiktaraf, antara kerja dilakukan termasuklah pertukaran dinding simen, pagar di sekeliling balairaya dan sistem penuaian air hujan.

Balairaya itu juga boleh digunakan untuk aktiviti seperti yoga, tarian, taekwando dan program komuniti.

Menyentuh soal naik taraf dan konsep menghijaukan dewan dan balairaya di sekitar Selangor, Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta untuk kerja berkenaan.