Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor tangkap imaginasi rakyat sekiranya teraju pusat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Belanjawan Selangor 2018 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada 3 November lalu bukan sahaja menarik perhatian rakyat negeri itu, malah turut mencuri tumpuan rakyat negeri lain.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Iskandar Md Akin berkata, hal ini berikutan pakej ditawarkan dalam belanjawan bersifat inovatif itu menangkap imaginasi rakyat berhubung manfaat yang bakal diperolehi rakyat Malaysia sekiranya Pakatan Harapan (Pakatan) menerajui Putrajaya.

“Misalnya Skim Peduli Sihat yang ditambah peruntukannya dan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) di mana sepatutnya Kerajaan Persekutuan sudah lama laksanakan perkara ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Jelasnya, selain itu, beberapa inisiatif lain termasuk pengumuman bonus tiga bulan gaji untuk kakitangan awam Kerajaan Negeri turut dicemburui kakitangan awam persekutuan dan negeri lain.

Katanya, belanjawan bertemakan ‘Membangun Bangsa, Memakmur Negeri’ itu turut memfokuskan usaha mengukuhkan ekonominya walaupun ditekan Kerajaan Persekutuan dengan pelbagai cara.

Katanya lagi, hal ini berbeza dengan Kerajaan Persekutuan yang disifatkan sebagai hipokrit ekoran membentangkan belanjawan gula-gula menjelang pilihan raya sedangkan sebelum ini memotong pelbagai peruntukan melibatkan kepentingan rakyat seperti sektor kesihatan dan pendidikan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, pula berkata Belanjawan Selangor menekankan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh perkembangan ekonomi dinamis.

Kerajaan Negeri sekali lagi berjaya membentangkan belanjawan bermanfaat selama empat tahun berturut-turut demi kemudahan rakyat di Selangor sekali gus membuktikan kemampuan Kerajaan Negeri ekoran hasil pencapaian ekonomi mampan.

Terdahulu, Mohamed Azmin membentangkan Belanjawan 2018 berjumlah RM3.12 bilion dengan pecahan RM1.66 bilion atau 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan, manakala RM1.46 bilion (46.8 peratus) bagi pengurusan.