Categories
SELANGOR

‘Bike Sharing’ bakal dilaksana di seluruh negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 NOV: Projek perintis Bike-Sharing yang dilaksanakan Kerajaan Negeri kini dalam tempoh percubaan sebelum perkhidmatannya dilaksanakan, di seluruh Selangor.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan garis panduan berhubung pelaksanaan dan syarat untuk diikuti syarikat Obike Sdn Bhd.

“Untuk memastikan keberkesanan garis panduan ini, projek perintis dilaksanakan di kawasan SS15 Subang Jaya, dekat sini.

“Ia masih dalam tempoh percubaan sehingga November ini sebelum perkhidmatannya boleh dilaksanakan di seluruh Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lau Weng San dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Bike Sharing adalah projek perkongsian basikal dikendalikan Obike Sdn Bhd di stesen ditetapkan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya dengan garis panduan disediakan Pihak Berkuasa Tempatan itu.