Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Selangor tarik pelaburan RM1.7 bilion hingga Jun lalu

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 NOV: Selangor mencatatkan prestasi membanggakan dengan berjaya menarik pelaburan RM1.7 bilion, dari Januari hingga Jun lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri meraih pelaburan itu melalui 87 projek perkilangan yang diluluskan dalam tempoh berkenaan.

“Daripada jumlah itu, ia merekodkan 51 peratus atau RM870.8 juta adalah daripada pelaburan tempatan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada lima sektor industri utama iaitu elektrik dan elektronik, peralatan pengangkutan, sains hayat, industri makanan serta mesin dan peralatan.

Katanya, ia sealiran dengan perancangan menjadikan Selangor sebagai negeri maju dan menarik pelaburan dalam industri berteknologi tinggi,

“Daripada sebahagian sektor industri utama itu, beberapa bidang industri tumpuan dikenal pasti berpotensi untuk berkembang di Selangor seperti e-commerce, bioteknologi, aeroangkasa dan industri halal.

“Industri ini semakin berkembang dan mendapat tempat selari arus perkembangan ekonomi dunia yang kini lebih menjurus kepada perniagaan secara e-dagang, sains hayat, bio teknologi serta aeroangkasa,” katanya.