Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hasil pasir melonjak mencecah RM118 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 NOV: Hasil diperolehi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) melonjak dari RM4.8 juta pada 2008 kepada lebih RM100 juta, di bawah pentabiran PAKATAN.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia hasil pentadbiran dan pengurusan yang dilaksanakan secara terbuka juga telus.

Katanya, hasil diperolehi pada 2009 melonjak kepada RM31 juta, 2014 dengan RM118 juta, 2015 (RM114.7 juta), 2016 (RM82.8 juta) dan hasil dikutip RM79.4 juta, setakat
September lalu.

“KSSB juga merancang untuk meningkatkan produktiviti bagi membantu industri menaikkan gaji minima pekerja lapangan, membantu kontraktor secara teknikal dan memasuki pasaran lebih besar.

“Perancangan lain termasuk membantu pelaksanaan sistem efisien di pejabat tanah, tambah baik sistem sedia ada bagi memastikan tiada ketirisan hasil dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Selangor yang terbabit dengan industri perlombongan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berhubung hasil KSSB mengikut tahun dan saluran hasil dibelanjakan.

Mohamed Azmin yang juga ADN Bukit Antarabangsa berkata, hasil KSSB turut dibelanja bagi tujuan lain selain perbelanjaan operasi syarikat.

Katanya, antaranya pembayaran dividen kepada pemegang saham iaitu Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berjumlah RM62.4 juta, bagi 2008 hingga 2017.

“Bayaran lain, royalti kepada Pejabat Tanah dan Galian Selangor RM110juta dari 2008 hingga 2017 dan pembayaran ‘tribute’ kepada tuan tanah bagi tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) RM28.3 juta, dari 2008 hingga 2017.

“Hasil turut disumbang kepada Kerajaan Negeri sebagai sokongan kepada program antaranya Football Association Selangor (FAS), Tabung Pendidikan Tahfiz Al Quran dan Al Qiraat, majlis sambutan perayaan dan lain-lain, dari 2008 hingga 2017, berjumlah RM31.5 juta,” katanya.

Perbelanjaan lain termasuk kerja pengorekan dan pembinaan Projek Horas 600, kerja pengorekan dan pembinaan kolam Abbas dan penyelenggaraan sungai dan muka sauk, di seluruh Selangor,” katanya.