Categories
GLOBAL

Cuaca buruk jejas misi mencari kapal selam Argentina

GLOBAL 19 NOV: Cuaca buruk menjejaskan misi mencari kapal selam milik tentera laut Argentina yang dilaporkan hilang bersama 44 kru.

Hubungan bersama kapal San Juan itu terputus sejak Rabu lalu, menyebabkan kerajaan melancarkan misi mencari di laut dan udara untuk mengesan serta menyelamatkan kapal berkenaan.

Jurucakap tentera laut Argentina, Enrique Balbi berkata, misi berkenaan telah menjelajah hampir 80 peratus dari kawasan pencarian dengan menggunakan pesawat dan kapal perang, lapor Agensi Berita Antartabangsa AFP.

“Cuaca amat buruk. Ada ribut dengan ombak yang menjangkau ketinggian enam meter. Ia menyukarkan kerja-kerja pencarian.

“Dalam keadaan seperti ini, tiada apa yang dapat kami lakukan,” katanya.

Sehingga kini kehilangan kapal berkenaan dikatakan berpunca daripada ketiadaan tenaga elektrik yang membuatkan hubungan bersama pangkalan tentera terputus.

Misi pencarian kapal selam itu turut disertai kerajaan Brazil, Britain, Chile, Amerika Syarikat dan Uruguay.

=EZY=