Categories
GLOBAL

Presiden Argentina arah siasat punca kapal selam hilang

MAR DEL PLATA 25 NOV: Presiden Argentina, Mauricio Marci mengarahkan siasatan terhadap punca kapal selam negara itu, San Juan hilang bersama-sama 44 kru untuk mengetahui kebenarannya.

“Kapal selam berusia 34 tahun ini sudah dipulihkan dan dalam keadaan sempurna. Saya berpegang kepada kebenaran. Tragedi ini memerlukan siasatan mendalam untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku,” kata Marci, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Cara tentera laut negara itu mengendalikan kapal selam terbabit dikritik hebat, selepas laporan pertama operasinya tidak dilakukan tepat pada masanya di pangkalan Mar del Plata pada 16 November lalu.

Tentera laut mengambil masa beberapa hari untuk melaporkan bahawa San Juan mempunyai masalah bateri dalam komunikasi terakhirnya pada 15 November lalu.

Hanya pada Khamis lalu tentera laut melaporkan berlaku letupan dalam kapal dan pakar berkata, ia mungkin ada kaitan dengan masalah bateri.

“Selagi kita tidak mempunyai maklumat lengkap, kita tidak akan menuding jari. Kita perlu memastikan apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku,” kata Macri.

=EZY=

Categories
GLOBAL RENCANA

San Juan: Kehilangan misteri, nasib 44 anak kapal tidak diketahui

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

ANALISIS GLOBAL: Kehilangan kapal selam Argentina mengimbau tragedi hitam yang menimpa kapal selam Rusia jenis Kursk pada 12 Ogos 2000 apabila mengorbankan kesemua 118 krew.

Pencarian kapal selam milik Tentera Laut Argentina jenis San Juan terus dipergiatkan sejak kapal selam itu dilaporkan hilang komunikasi pada 15 November lalu apabila dipercayai mengalami masalah kegagalan bekalan elektrik namun punca sebenar belum dikenalpasti.

Kali terakhir kapal selam itu berkomunikasi ialah pada pagi (Rabu) 15 November, dan apabila ia terputus hubungan pada hari sama, misi pencarian dilancarkan pada pagi Khamis (16 November).

Sehingga kini (21 November) nasib 44 anak kapal selam itu terus menjadi misteri dan menimbulkan pelbagai persoalan disebabkan tanpa berita baik diterima.

 

Sejarah kapal selam San Juan

Kapal selam itu memasuki perkhidmatan pada 19 November 1985 dengan naik taraf dilakukan di Argentina antara 2008 dan 2013, mengambil masa lebih lama daripada dijangka disebabkan kekangan bajet.

Kos naik kira-kira 100 juta peso ($ 12.4 juta) dan terdiri daripada lebih 500,000 jam kerja di mana kapal selam dipotong separuh dan enjin dan bateri MTU diganti.

Naik taraf itu dijalankan di limbungan kapal Kompleks Perindustrian Perindustrian Argentine (CINAR) Tandanor dan Storni. Kemudian, San Juan ditugaskan menjalankan latihan pengawasan di zon ekonomi di sekitar Puerto Madryn, khususnya dalam peranan memerangi penangkapan ikan secara haram

 

Apa berita terkini nasib San Juan?

Terbaharu, pakar menolak kemungkinan bunyi dikesan di dasar laut adalah milik kapal terbabit. Jurucakap tentera laut, Enrique Balbi berkata bunyi itu mungkin terhasil dari hidupan yang ada di laut itu.

Laporan mengenai kemungkinan bunyi bising itu dihasilkan kapal selam terbabit telah membuatkan semua ahli keluarga meletak harapan tinggi untuk melihat semua mangsa dalam keadaan selamat.

Sebelum ini panggilan kecemasan yang dikatakan dibuat San Juan disahkan sebagai bukan milik kapal selam terbabit.

Lokasi terakhir kapal selam buatan Jerman itu pada 15 November lalu ialah 432 kilometer di luar perairan Argentina di Atlantik Selatan. Kru kapal selam San Juan dipercayai mempunyai bekalan makanan dan oksigen mencukupi untuk menunggu bantuan tiba.

Menteri Pertahanan Argentina, Oscar Aguard, pada 18 November mengesahkan bahawa misi pencarian kapal selam ARA San Juan disertai kerajaan Chile, Brazil, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Colombia, Uruguay serta Peru, manakala beberapa negara lain turut menawarkan bantuan mereka dalam operasi mencari dan menyelamat.

Perintah Selatan AS pada Ahad telah menghantar pesawat kedua untuk membantu operasi pencarian, iaitu P-8A Poseidon yang dikenali sebagai pemburu kapal selam atau antikapal selam dengan 21 kru dari Jacksonville, Florida.

 

Berapa lama krew kapal selam dapat bertahan hidup?

CNN melaporkan jurucakap tentera Laut Argentina, Enrique Balbi menyatakan dalam senario terburuk, kapal selam itu boleh kehabisan oksigen dalam masa dua hari.

Di bawah keadaan biasa, kapal itu mempunyai bahan api, air, minyak dan oksigen yang mencukupi untuk beroperasi selama 90 hari tanpa bantuan luar.

Balbi berkata kapal selam itu boleh “snorkel” – atau menaikkan tiub ke permukaan – “untuk mengecas bateri dan tarik udara segar untuk kru. ”

Negara terlibat dalam pencarian Kapal Selam San Juan

Sekiranya kapal selam terapung di permukaan dan penutup dibuka, ia akan mempunyai bekalan udara yang tersedia dan makanan yang cukup selama 30 hari.

Tetapi jika ia tenggelam dan tidak dapat menaikkan snorkel, oksigennya mungkin bertahan hanya sekitar tujuh hari.

 

Jika kapal selam ditemui, bagaimanakah krew diselamatkan?

Walaupun kapak selam dikesan dijumpai ia mengambil masa beberapa hari untuk kapal selam penyelamat digerakkan di kawasan di mana ia dijumpai.

Keadaan ini menimbulkan masalah apabila bekalan oksigen semakin berkurangan ditambah dengan keadaan gelora lautan dan cuaca yang sukar dijangka.

Kedalaman lautan dan jarak kapal selam itu terdampar serta keadaannya sama ada menegak atau berada di posisi lain bakal menentukan bentuk gerakan menyelamat dapat dilaksanakan yang memerlukan kepakaran tersendiri.

 

Categories
GLOBAL

Panggilan satelit bukan dari kapal selam Argentina

GLOBAL 21 NOV: Panggilan satelit yang dikesan hujung minggu lalu ketika operasi mencari dan menyelamat kapal selam Argentina yang hilang bukan datang dari kapal berkenaan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan jurucakap tentera laut, Enrique Balbi, berkata ia sekali gus memusnahkan harapan panggilan itu datangnya daripada 44 kru kapal terbabit.

Balbi berkata, kapal selam ARA San Juan itu menghantar isyarat terakhirnya, Rabu lalu.

“Panggilan bukan dibuat daripada telefon satelit kapal selam San Juan,” katanya.

Cuaca buruk menyukarkan usaha mencari kapal selam yang hilang di Atlantik Selatan itu.

Lebih 12 bot dan pesawat dari Argentina, Amerika Syarikat, Britain, Chile dan Brazil menyertai usaha pencarian itu.

Pihak berkuasa, biasanya mengimbas laut dari bahagian atas, oleh kerana ribut menjadikan misi pencarian menggunakan bot sukar.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Komunikasi satelit petunjuk kru kapal selam hilang mungkin hidup

GLOBAL 19 NOV: Harapan untuk melihat kesemua 44 kru kapal selam San Juan masih hidup semakin meningkat apabila Kementerian Pertahanan mengesahkan terdapat cubaan untuk menghubungi pihak tentera dengan menggunakan satelit.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan jurucakap kementerian berkenaan berkata, pihaknya mengesan tujuh cubaan panggilan yang gagal, dipercayai dilakukan kru kapal San Juan, semalam.

Menurut beliau, isyarat itu yang dikesan lewat pagi dan awal tengah hari Sabtu, berlaku antara tempoh empat hingga 36 saat.

Kerajaan Argentina kini sedang berusaha mengesan lokasi sebenar kapal selam itu dengan bantuan sebuah syarikat komunikasi satelit milik Amerika Syarikat (AS) yang dirahsiakan identitinya.

Jenis panggilan terbabit bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan namun kapal selam yang terperangkap di dasar laut memiliki keupayaan untuk mengapungkan peranti lokasi, dikenali sebagai EPIRB ke permukaan air, sebelum memancarkan isyarat kecemasan melalui satelit.

Terdahulu, misi mencari dan menyelamat kapal selam berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan angin kencang serta keadaan laut Selatan Atlantik yang bergelora dengan ketinggian ombak hampir mencecah 6 meter.

Lokasi terakhir kapal buatan Jerman itu dikesan ialah pada jarak 432 kilometer dari perairan Selatan Atlantik, awal pagi Rabu lalu.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Cuaca buruk jejas misi mencari kapal selam Argentina

GLOBAL 19 NOV: Cuaca buruk menjejaskan misi mencari kapal selam milik tentera laut Argentina yang dilaporkan hilang bersama 44 kru.

Hubungan bersama kapal San Juan itu terputus sejak Rabu lalu, menyebabkan kerajaan melancarkan misi mencari di laut dan udara untuk mengesan serta menyelamatkan kapal berkenaan.

Jurucakap tentera laut Argentina, Enrique Balbi berkata, misi berkenaan telah menjelajah hampir 80 peratus dari kawasan pencarian dengan menggunakan pesawat dan kapal perang, lapor Agensi Berita Antartabangsa AFP.

“Cuaca amat buruk. Ada ribut dengan ombak yang menjangkau ketinggian enam meter. Ia menyukarkan kerja-kerja pencarian.

“Dalam keadaan seperti ini, tiada apa yang dapat kami lakukan,” katanya.

Sehingga kini kehilangan kapal berkenaan dikatakan berpunca daripada ketiadaan tenaga elektrik yang membuatkan hubungan bersama pangkalan tentera terputus.

Misi pencarian kapal selam itu turut disertai kerajaan Brazil, Britain, Chile, Amerika Syarikat dan Uruguay.

=EZY=